Nahas FRU: Keluarga mangsa diminta hubungi ketua polis negeri jika bantuan kurang

Nahas FRU: Keluarga mangsa diminta hubungi ketua polis negeri jika bantuan kurang

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata bantuan termasuk insurans kepada keluarga mangsa sudah dilaksanakan.

Ketua Polis Negara Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya memperkemas SOP penugasan terutama membabitkan konvoi besar untuk kurangkan risiko kemalangan ketika operasi dan di jalan raya.
KUALA LUMPUR:
Keluarga mangsa kemalangan maut melibatkan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang berlaku setahun lalu diminta menghubungi ketua polis negeri masing-masing jika bantuan masih tidak mencukupi.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata setakat ini bantuan termasuk insurans kepada keluarga terbabit sudah dilaksanakan

“Jika ada mana yang kurang itu, saya minta berhubung dengan ketua polis negeri masing-masing.

“Tapi setakat ini kita telah laksanakan segala bantuan keperluan insurans dan sebagainya, dengan baik dan sempurna,” katanya selepas Majlis Penutupan PDRM Special Dialogue V (PSD V) 2026 di Kuala Lumpur Golf & Country Club.

Dalam kejadian 13 Mei tahun lalu, sembilan anggota FRU maut manakala sembilan lagi cedera selepas trak dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, semasa dalam perjalanan pulang ke pangkalan di Sungai Senam.

Berdasarkan siasatan awal, punca utama kejadian dikenal pasti sebagai tindakan pemandu lori tersebut yang memasuki laluan bertentangan, menyebabkan perlanggaran dengan trak FRU.

Siasatan lanjut kemudian mendedahkan lori tersebut membawa lebih muatan.

Khalid hari ini berkata, polis telah memperkemas prosedur operasi standard (SOP) penugasan terutama membabitkan konvoi besar bagi mengurangkan risiko kemalangan ketika operasi dan di jalan raya.

“Saya percaya dengan peningkatan SOP dan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan, kita dapat mengurangkan kemalangan bukan sahaja di tempat petugas tetapi juga semasa berada di dalam jalan raya,” katanya.

Polis juga meningkatkan logistik dan peralatan termasuk kenderaan baharu hasil peruntukan kerajaan, tambahnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.