‘Top-up’ pendapatan, pendidikan tinggi percuma antara ikrar PRU15 BN

‘Top-up’ pendapatan, pendidikan tinggi percuma antara ikrar PRU15 BN

BN juga berikrar menghapuskan buku teks di sekolah, dengan semua pelajar B40 akan diberikan komputer riba percuma dan sekolah dilengkapi internet 5G dalam tempoh 18 bulan.

Bagi mengurangkan kos pengajian, institusi pengajian tinggi awam akan menawarkan sistem hibrid, dengan separuh pelajaran diadakan dalam talian dan selebihnya di kampus.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) melancarkan manifesto pilihan raya umum ke-15 malam ini, dengan skim bantuan pendapatan asas dan pendidikan tinggi percuma untuk pelajar B40 antara ikrar utamanya.

Pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi berkata, skim bantuan pendapatan asas bantuan itu akan menyaksikan dana dikreditkan terus kepada isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,208 sebulan.

“Ia adalah satu ‘top up’ atau tambahan pendapatan bulanan bagi memastikan semua isi rumah di seluruh negara mempunyai sekurang-kurangnya RM2,208 sebulan,” katanya sambil menambah ia bagi menangani bebanan kos sara hidup.

Beliau berkata, BN juga akan memberi 2% potongan cukai pendapatan kepada golongan M40 yang berpendapatan antara RM50,000 hingga RM100,000 setahun.

“Ini sudah pasti akan membolehkan kuasa membeli golongan M40 meningkat dan mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

Menurut Zahid, setiap pelajar B40 layak mendapat pendidikan tinggi percuma, manakala buku teks akan dihapuskan dalam sistem pendidikan sebagai sebahagian pendigitalan sistem persekolahan.

Sebaliknya, pembelajaran akan dijalankan menggunakan komputer riba.

“Untuk itu, dua inisiatif besar BN untuk perkara ini adalah memberi komputer riba percuma kepada semua pelajar B40 dan memastikan 100% liputan internet 5G di semua sekolah dalam masa 18 bulan.”

Institusi pengajian tinggi awam juga akan menawarkan sistem hibrid, di mana separuh daripada pelajaran diadakan dalam talian dan selebihnya di kampus bagi mengurangkan kos pengajian.

Manakala, semua pelajar universiti yang menjalani latihan amali perlu dibayar elaun oleh majikan.

Beliau juga menjanjikan penjagaan dan pendidikan awal nasional percuma untuk semua kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah bagi membantu mengurangkan kos sara hidup keluarga muda.

BN berikrar memberi insentif kepada majikan yang mengambil pekerja berbilang bangsa, jantina dan latar belakang dengan menawarkan insentif cukai kepada syarikat yang mempunyai kemajmukan pada peringkat pengurusan.

“Selain itu, kita mahu isu gangguan seksual, ketidaksamaan gaji, imbuhan dan layanan kerana perbezaan jantina dihapuskan sama sekali, dengan meneliti kesesuaian penubuhan Tribunal Kesaksamaan Gender dan Tribunal Anti-gangguan Seksual.”

Zahid berkata, BN akan memansuhkan permit import (AP) untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.

BN juga akan menggubal Akta Penjagaan Warga Emas yang akan mempertingkatkan fungsi dan keupayaan NGO dalam menguruskan pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya, dengan peruntukan RM105 juta selama lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.