BN realistik intai peluang PRN Sabah, kata penganalisis

BN realistik intai peluang PRN Sabah, kata penganalisis

Bilcher Bala dari UMS berkata langkah tidak tanding di semua 73 kerusi kerana sedar sokongan gabungan itu merosot sejak PRN lalu.

bendera bn bernama-080924-1
Penganalisis berpandangan, Barisan Nasional (BN) ambil langkah tepat menumpukan sumber dan strategi kepada kerusi boleh menang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Barisan Nasional (BN) lebih realistik melihat peluangnya menjelang PRN Sabah dengan mengambil kira landskap politik semasa dan sokongan akar umbi, susulan tidak bertanding di semua 73 kerusi DUN Sabah.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata ini menunjukkan BN sedar sokongan terhadap gabungan itu merosot, sejak PRN lalu.

“BN hanya menang 14 daripada 73 kerusi DUN (dan) jauh lebih rendah berbanding era dominasi mereka sebelum 2018.

“Hal ini menunjukkan penurunan sokongan rakyat Sabah terhadap BN, khususnya Umno, yang pernah menjadi parti dominan di negeri ini,” katanya kepada FMT.

Daripada 14 yang dimenangi sebelum ini, enam kerusi BN terlepas susulan wakil rakyatnya melompat.

Sabtu lalu, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata gabungan itu tidak akan bertanding semua 73 kerusi DUN.

Beliau berkata, Umno dan BN bagaimanapun telah mengenal pasti jumlah kerusi difikirkan sesuai untuk ditandingi, lebih banyak berbanding 14 yang dimenangi ketika PRN 2020, termasuk di kawasan DUN baharu.

Katanya, tindakan BN itu juga menunjukkan wujudnya usaha penyelarasan bersama Pakatan Harapan (PH).

“Keperluan untuk mengelak pertembungan sesama rakan gabungan yang boleh memecah undi dan memberi kelebihan kepada lawan.

“Jika pembahagian kerusi tidak dimuktamadkan dengan jelas, risiko pertembungan tetap wujud dan boleh menjejaskan peluang gabungan untuk menang,” katanya.

Bilcher turut memuji pendekatan BN dalam kepentingan membina pakatan dengan ‘kuasa ketiga’ iaitu parti tempatan yang lebih memahami dinamika Sabah dan berpengaruh secara tempatan.

Sementara itu, Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata tindakan Zahid itu bertepatan dengan strategi itu membolehkan BN menumpukan usaha dan sumber kepada kerusi boleh menang.

Katanya, BN umum tidak tanding di 73 kerusi DUN Sabah juga bagi menjaga hubungan kerjasama dengan PH.

“Saya pasti mereka akan muktamadkan jumlah kerusi yang adil antara BN dan PH,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.