GPS gugur Rohani, Nancy pindah Santubong

GPS gugur Rohani, Nancy pindah Santubong

Tempat Rohani Abdul Karim di Parlimen Batang Lupar digantikan muka baharu Mohamad Shafizan Kepli.

Penyandang Parlimen Batang Lupar Rohani Abdul Karim digugurkan dalam senarai calon GPS manakala Nancy Shukri berpindah ke Santubong.
PETALING JAYA:
Ahli Parlimen Batang Lupar empat penggal Rohani Abdul Karim digugurkan daripada senarai calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Tempat Rohani diisi Mohamad Shafizan Kepli. Rohani yang juga bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat sebelum itu pernah menjadi Ahli Parlimen Santubong selama tiga penggal bermula 1990 hingga 1999.

Senarai calon diumumkan pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Abang Johari Openg hari ini menyaksikan penyandang Parlimen Batang Sadong, Nancy Shukri akan bertanding di Santubong.

Beliau menggantikan tempat Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mengumumkan tidak mempertahankan kerusi itu baru-baru ini.

Calon lain diumumkan Abang Johari yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ialah bekas timbalan menteri perladangan dan komoditi Willie Mongin yang baru menyertai PBB, akan bertanding di Puncak Borneo.

Berikut adalah senarai calon GPS:

  • Mas Gading – Lidang Disen
  • Santubong – Nancy Shukri
  • Petra Jaya – Fadillah Yusof
  • Bandar Kuching – Tze Kok
  • Stampin – Lo Khere Chiang
  • Kota Samarahan – Rubiah Wang
  • Puncak Borneo – Willie Mongin
  • Serian – Richard Riot Jaem
  • Batang Sadong – Rodiyah Sapiee
  • Batang Lupar – Mohamad Shafizan Kepli
  • Sri Aman – Doris Sophia Brodi
  • Lubok Antu – Roy Angau Gingko
  • Betong – Richard Rapu@Aman Begri
  • Saratok – Giendam Jonathan Tait
  • Tanjong Manis – Yusuf Abdul Wahab
  • Igan – Ahmad Johnie Zawawi
  • Sarikei – Huang Tiong Sii
  • Julau – Joseph Salang Gandum
  • Kanowit – Ago Dagang
  • Lanang – Wong Ching Yong
  • Sibu – Clarence Ting Ing
  • Mukah – Hanifah Taib
  • Selangau – Edwin Banta
  • Kapit – Alexander Nanta Linggi
  • Hulu Rajang – Wilson Ugak Kumbong
  • Bintulu – Tiong King Sing
  • Sibuti – Lukanisman Awang Sauni
  • Miri – Jeffery Phang Siaw Foong
  • Baram – Anyi Ngau
  • Limbang Hasbi Habibollah
  • Lawas – Henry Sum Agong

PRU15 menyaksikan GPS buat kali pertama menggunakan lambang sendiri selepas pilihan raya negeri lalu. Sebelum ini, mereka adalah sebahagian daripada Barisan Nasional (BN) namun bertindak keluar selepas gabungan itu tewas pada PRU14.

Ketika itu, mereka hanya menang 19 daripada 31 kerusi ditandingi, bakinya dimenangi DAP dengan enam kerusi, PKR (4) dan bebas (2).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.