Biar mahkamah tentu permohonan Petronas, kata Abang Jo

Biar mahkamah tentu permohonan Petronas, kata Abang Jo

Premier Sarawak berkata langkah Petronas itu sebagai satu perkara biasa bagi mendapatkan kejelasan undang-undang.

abang johari openg
Premier Sarawak Abang Johari Openg tiada masalah dengan langkah Petronas fail usul di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia terpakai bagi operasi petroleum di negeri itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata tindakan Petronas memfailkan usul di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia terpakai bagi operasi petroleum di negeri itu selaras prinsip kedaulatan undang-undang.

Katanya, langkah Petronas itu sebagai satu perkara biasa bagi mendapatkan kejelasan undang-undang.

“Kita tengok bagaimana keputusan mahkamah. Biar mereka tentukan, kita ikutlah ‘rule of law’,” katanya menurut Bernama selepas hadir Majlis Amanat Premier Sarawak 2026, di Kuching.

Beliau berkata, perkara itu melibatkan dua pihak, iaitu kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak, justeru sebarang ulasan tidak sesuai dibuat ketika ini.

Menerusi satu kenyataan semalam, Petronas memaklumkan telah memfailkan notis usul di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya bertujuan mendapatkan penjelasan mengenai kerangka kawal selia yang terpakai bagi operasi petroleum di Sarawak.

Menurut Petronas, pihak responden yang dinamakan ialah kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak.

“Permohonan berkenaan difailkan dengan tujuan memastikan Petronas terus beroperasi selaras dengan kerangka kawal selia serta amalan tadbir urus yang baik,” menurut syarikat minyak nasional itu.

Permohonan itu tidak berhasrat untuk mencabar aspirasi pembangunan Sarawak mahupun menghalang peranan yang dimainkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam sektor tenaga di negeri ini.

Keputusan memfailkan usul berkenaan dibuat susulan perbincangan serta rundingan yang berjalan semenjak 2024 bersama Petros serta kerajaan persekutuan dan kerajaan Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.