Tugas saya bantu BN menang, Khairuddin enggan ulas pertahan Kuala Nerus

Tugas saya bantu BN menang, Khairuddin enggan ulas pertahan Kuala Nerus

Media melaporkan penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus itu dikatakan akan menyertai Umno dalam tempoh terdekat.

Penyandang Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali dilaporkan akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Barisan Nasional. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Penyandang Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali menyerahkan kepada Umno berhubung keputusan sama ada beliau boleh mempertahankan kerusinya bawah tiket Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Enggan mengulas lanjut, Khairuddin berkata ketika ini beliau membantu untuk memberikan kemenangan kepada BN.

“Wallahualam, terserah pada Umno pusat. Kena rujuk pada mereka.

“Tugasan saya untuk berkempen semaksimumnya untuk memenangkan BN. Saya sedang turun di Kedah, esok ke Lumut, Pasir Salak dan turun ke Pahang bantu menteri besar Pahang,” katanya kepada FMT.

Khairuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai laporan media bahawa beliau dijangka bertanding di kerusi Parlimen Kuala Nerus atas tiket BN.

Bekas setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu turut dikhabarkan akan menyertai Umno dalam tempoh terdekat.

Ketika ditanya sama ada Umno berjumpanya berhubung kerusi berkenaan, Khairuddin hanya memberi jawapan ringkas dan enggan mengulas perkara itu.

Mengenai kesediaannya untuk menyertai Umno, Khairuddin berkata “ia isu yang tidak berbangkit”.

“Wallahualam, yang penting saya buat kerja untuk beri kemenangan, halang Pakatan Harapan berkuasa,” katanya.

BN dijadual mengumumkan calon yang akan bertanding dalam PRU15 di Kuala Lumpur malam ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.