Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah

Lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran rumah

Mangsa dikenal pasti sebagai Shafie Awang Abd Rahman ditemui rentung di bahagian depan rumah pusaka milik keluarganya yang berusia lebih 70 tahun.

Keadaan rumah yang musnah terbakar dan mengorbankan mangsa dalam kejadian di Kuala Nerus, malam tadi. (Gambar JBPM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah dalam kejadian di Kuala Nerus, Terengganu malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa dikenal pasti sebagai Shafie Awang Abd Rahman, 49, ditemui rentung di bahagian depan rumah pusaka milik keluarganya yang berusia lebih 70 tahun.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu sebelum itu menerima panggilan kecemasan pada 7.37 malam sebelum menghantara jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus ke lokasi.

Menurut Penolong Pengarah Operasinya, Muhammad Basri Kamarazaman, kebakaran memusnahkan rumah itu sepenuhnya dengan sebuah motosikal jenis LC135 milik mangsa.

“Operasi pemadaman turut dibantu anggota BBP Kuala Terengganu.

“Kita berjaya mengawal api sepenuhnya pada 8.02 malam. Mayat mangsa ditemukan di bahagian depan rumah sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya, menurut Harian Metro.

Tambahnya lagi, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih lagi disiasat.

Sementara itu, saksi kejadian, Mohd Faizal Mohd Fazil, 30, berkata mangsa dipercayai baru pulang bekerja sebelum menyedari rumahnya terbakar.

Menurutnya, mangsa dikatakan berlari masuk ke dalam rumah untuk mengambil kunci motosikal bagi menyelamatkan kenderaannya yang diletakkan di luar rumah.

“Namun api marak dengan cepat menyebabkan mangsa terperangkap,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.