Calonkan wanita di kerusi boleh menang, parti diberitahu

Calonkan wanita di kerusi boleh menang, parti diberitahu

Jika 30% wanita diletakkan sebagai calon, ia sepatutnya diterjemahkan kepada 30% wanita dalam kalangan penggubal undang-undang.

Sekarang bukan lagi masanya untuk mengamalkan ‘tokenisme’, di mana wanita diletakkan hanya untuk menambah bilangan, kata NCWO.
PETALING JAYA:
Gabungan NGO wanita menggesa parti politik agar meletakkan calon wanita di kerusi “boleh menang” pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan tidak menganggap mereka sebagai “token”.

Pengerusi Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita (NCWO) Sharifah Hapsah Sahabuddin berkata, beliau berharap PRU15 akan menjadi titik perubahan di mana “tokenisme” tidak akan diamalkan.

Sharifah berkata, “tokenisme” diamalkan dengan meletakkan calon wanita di kerusi rawak semata-mata untuk menunjukkan parti mendesak ke arah perwakilan yang lebih baik.

Katanya, walaupun beberapa parti politik lantang bersuara mengenai lebih ramai perwakilan wanita, termasuk menjanjikan sekurang-kurangnya 30% calon wanita, “ia masih belum dilihat”.

“Apa yang kami katakan adalah jika 30% wanita diletakkan (sebagai calon), ia sepatutnya diterjemahkan kepada 30% wanita dalam kalangan penggubal undang-undang. Ini bermaksud kami mahu mereka dicalonkan di kerusi boleh menang,” katanya dalam temu bual di Astro Awani malam tadi.

Inilah sebabnya NCWO membentuk kumpulan Pantau PRU 15 untuk memerhatikan perwakilan wanita dalam PRU15, katanya.

“Kita akan lihat apa yang parti-parti politik lakukan untuk memastikan (dorongan terhadap) penyertaan wanita (lebih besar) dipertahankan,” katanya.

Sharifah berkata, Pantau PRU 15 akan menyemak manifesto parti untuk dasar merangkumi jantina, serta menjejaki bilangan wanita yang diletakkan sebagai calon dan kerusi mereka, untuk memastikan mereka tidak diletakkan di kerusi yang tidak boleh dimenangi.

“Kita akan dapatkan pakar dalam Pantau PRU 15 untuk menganalisis kerusi-kerusi tersebut kerana mereka yang tahu kerusi mana yang selamat untuk siapa.

“Jika kita lihat wanita diletakkan di kerusi yang tidak boleh dimenangi, kami akan mempertanggungjawabkan (parti-parti),” katanya.

Beliau juga berkata, kumpulan itu mahu wanita berwibawa dengan rekod prestasi yang baik diletakkan sebagai calon, bukannya “proksi yang boleh dikawal”.

Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Ummu Atiyah Zakuan berkata, berdasarkan kajiannya, masyarakat umum lebih mudah menerima pemimpin wanita.

“Hasil awal penyelidikan saya menunjukkan bahawa generasi muda lebih menerima wanita sebagai pemimpin,” katanya.

Ummu yang juga ahli Pantau PRU 15 berkata, kumpulan itu memberi tumpuan kepada mewujudkan kesedaran dalam kalangan pengundi bahawa Malaysia memerlukan lebih ramai wanita sebagai pemimpin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.