Petani didakwa bunuh anak 3 bulan

Petani didakwa bunuh anak 3 bulan

Muhammad Nasyran Zamzury, 28, didakwa membunuh Muhammad Annas antara 9 malam 4 Okt hingga 1.30 tengah hari 10 Okt lalu.

Muhammad Nasyran Zamzury dibawa ke Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini. (Gambar Bernama)
ALOR SETAR:
Seorang petani dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh bayi lelakinya berusia tiga bulan di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang, awal bulan ini.

Muhammad Nasyran Zamzury, 28, didakwa membunuh anaknya, Muhammad Annas antara 9 malam 4 Okt hingga 1.30 tengah hari 10 Okt lalu.

Tiada pengakuan direkodkan di hadapan Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Nasyran didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut menghadapi tiga lagi pertuduhan di mahkamah sama dan mengaku salah terhadap satu daripada pertuduhan terbabit, iaitu memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine dalam dirinya tanpa kebenaran pihak berwajib.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar kira-kira 7 malam 10 Okt lepas.

Dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan 18 Dis ini, sementara menunggu laporan patologi.

Bagi satu lagi pertuduhan, Nasyran mengaku tidak bersalah mencederakan bekas teman wanitanya di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra, di sini kira-kira 7 pagi 5 Mei 2019.

Dia didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan kes itu ditetapkan untuk sebutan semula pada 20 Nov depan.

Untuk pertuduhan terakhir, majistret menjatuhkan hukuman penjara 14 bulan terhadap tertuduh yang mengaku bersalah dengan sengaja mencederakan isterinya, Siti Nur Kamalia Kamaruddin, 22, di sebuah rumah di Kampung Teluk Jawa, Mukim Padang Hang dekat sini, kira-kira 5 petang 4 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurfatin Mastura Asri, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Zuriyah Mohd Nordin bagi pertuduhan mencederakan isterinya.

Bagaimanapun, tertuduh tidak diwakili peguam bagi tiga pertuduhan lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.