
Peguam Lim Chee Wee, yang mewakili SRC dalam saman sivil USD1.18 bilion terhadap bekas perdana menteri itu, berkata lembaga pengarah tidak pun dirujuk ketika pinjaman RM2 bilion diperoleh pada 2011 dan 2012.
Beliau menolak hujah Najib yang menyatakan bahawa mengawal selia penggunaan dana tersebut adalah tanggungjawab pengarah.
“Lembaga pengarah mana? Lembaga SRC hanya ditubuhkan pada 23 Ogos 2011.
“Ketika itu, defendan pertama (Najib) sudah memutuskan untuk mengoperasikan SRC dan telah menetapkan di mana dana itu akan ditempatkan.
“SRC sudah memohon pinjaman KWAP yang pertama, jaminan kerajaan telah diluluskan, dan pinjaman pertama telah dikeluarkan,” kata Lim kepada mahkamah.
Syarikat itu seterusnya berhujah bahawa Najib, yang ketika itu menteri kewangan, tidak boleh meletakkan tanggungjawab ke atas lembaga pengarah walaupun selepas ia ditubuhkan, kerana beberapa perkara berada di luar bidang kuasa mereka.
Ini termasuk pengeluaran jaminan kerajaan, arahan peribadi kepada KWAP untuk mendapatkan pinjaman, dan kelulusan pinjaman jangka pendek — semua ini didakwa bawah kuasa Najib.
Lim juga menolak dakwaan Najib bahawa beliau terlalu sibuk untuk menguruskan usaha wajar atau perincian lebih halus, menyifatkan alasan itu tidak boleh diterima.
Beliau berkata SRC bukan suatu usaha sama biasa, menyatakan berbilion ringgit daripada dana pencen penjawat awam disalurkan ke syarikat itu dengan alasan untuk mencapai keselamatan tenaga.
“Malah, SRC juga direka sebagai sebuah entiti yang mirip dengan Petronas. Akhirnya, tiada keselamatan tenaga yang tercapai,” katanya.
SRC International menyaman Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif, Nik Faisal Ariff Kamil, yang masih bebas, atas dakwaan menggelapkan harta syarikat dan bersekongkol secara tidak jujur untuk menukarkannya bagi kegunaan mereka.
Saman itu pada asalnya menyenaraikan bekas pengerusi SRC, Ismee Ismail, serta bekas pengarah Suboh Yasin, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, Azhar Osman Khairuddin, dan Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, sebagai defendan bersama.
SRC kemudian menggugurkan kes terhadap mereka. Namun, mereka ditambah sebagai pihak ketiga oleh Najib.
Perbicaraan di hadapan Hakim Ahmad Fairuz Zainol Abidin akan disambung esok.
Najib disabitkan kesalahan menyelewengkan RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd dan sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kemudian mengurangkan tempoh penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun, dan mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.