
Ditanya keterbukaan BN bekerjasama dengan parti lain termasuk PAS untuk membentuk kerajaan pasca PRU15, beliau yang juga perdana menteri sementara berkata parti itu perlu melihat keputusan pilihan raya terlebih dulu dengan sebarang ketetapan lanjut dibuat kemudian.
“Kita tunggu dulu keputusan PRU, selepas itu kita akan putuskan selepas itu. Kita pastikan lepas sasaran awal kita dulu 112 menang. Kalau buat andaian terlalu awal (kerjasama dengan pihak ketiga) susah juga, kita tak tahu apa akan berlaku dalam pilihan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia kali ke-43 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Dalam pada itu, Ismail berkata beliau dimaklumkan sejumlah 152 daripada 191 Bahagian Umno menyokong usul kembali mengangkat dirinya sebagai perdana menteri selepas PRU15.
Katanya, Umno bahagian bebas membuat usul menyokong mana-mana individu untuk diangkat sebagai perdana menteri mewakili BN.
““Umno bahagian bebas membuat sebarang usul, saya berterima kasih kepada bahagian, saya difahamkan setakat ini 152 (daripada 191) bahagian membuat usul menyokong saya sebagai calon perdana menteri selepas PRU15.
“Ini menunjukkan sokongan kepada keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi) dan pendirian presiden (Ahmad Zahid Hamidi),” katanya.