
Katanya, dakwaan bahagian tersebut dibubarkan adalah tidak berasas dan tidak berperlembagaan serta bercanggah dengan beberapa peruntukan dalam perlembagaan dan peraturan persidangan Bersatu.
“Ibu pejabat menerima laporan beberapa pautan di media sosial dan kenyataan media melaporkan Bersatu Bahagian Larut, Lembah Pantai, Kepala Batas dan Tanjong telah dibubarkan ekoran peletakan jawatan beberapa orang ahli jawatankuasa bahagian.
“Perlembagaan parti tidak memperuntukkan kuasa kepada mana-mana ahli termasuk ketua bahagian untuk membubarkan bahagian. Ini adalah tindakan terdesak segelintir individu yang berniat jahat untuk merosakkan imej dan maruah serta menggugat kestabilan parti,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini dilaporkan beberapa bahagian Bersatu mengumumkan pembubaran atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin usai pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden.
Semalam, Ketua Penerangan Pemuda Bersatu, Harris Idaham Rashid, berkata jawatankuasa bahagian tidak mempunyai hak mengumumkan pembubaran kerana ia bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti yang dipengerusikan presiden.
Terdahulu, Ahli MPT Bersatu, Razali Idris, berkata hanya majlis tersebut mempunyai kuasa membubarkan bahagian dan cawangan.
Sementara itu, Azmin berkata mesyuarat MPT pada 14 Feb lalu mengambil langkah proaktif dengan memberi mandat kepada Badan Pimpinan Negeri untuk memantau setiap bahagian dan mengenal pasti langkah drastik untuk memulihkan bahagian bermasalah sebagai usaha berterusan untuk memperkukuhkan Bersatu di semua peringkat.
Katanya, MPT akan mengambil tindakan selanjutnya berdasarkan peruntukan perlembagaan sedia ada.
“Saya yakin Bersatu hari ini semakin matang, utuh dan akan melangkah ke hadapan dengan keyakinan baru untuk membawa agenda perjuangan rakyat,” katanya.