Bahagian tiada kuasa umum bubar, kata pemimpin Bersatu

Bahagian tiada kuasa umum bubar, kata pemimpin Bersatu

Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Harris Idaham Rashid berkata ia bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang dipengerusikan presiden.

Bersatu Youth information chief Harris Idaham Rashid email pic 17226
Ketua Penerangan Pemuda Harris Idaham Rashid berkata tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang membenarkan jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran.
PETALING JAYA:
Jawatankuasa Bahagian Bersatu tidak mempunyai hak mengumumkan pembubaran, kata Ketua Penerangan Pemuda, Harris Idaham Rashid.

Beliau yang juga ketua Bersatu Balik Pulau berkata, perkara itu adalah bidang kuasa Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang dipengerusikan presiden.

“Sejak kebelakangan ini Armada (Pemuda) melihat perkembangan beberapa jawatankuasa bahagian yang mengumumkan bahagian tersebut telah terbubar kerana mereka meletakan jawatan.

“Armada ingin menegaskan tidak ada mana-mana peruntukan dalam Perlembagaan Bersatu yang membenarkan jawatankuasa bahagian mengumumkan pembubaran,” katanya dalam kenyataan.

Kenyataan itu menyusul beberapa bahagian Bersatu yang mengumumkan pembubaran atas alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Presiden Muhyiddin Yassin usai pemecatan Hamzah Zainudin sebagai timbalan presiden.

Antara bahagian itu adalah Kepala Batas, Tanjong, Balik Pulau, Lembah Pantai dan Larut.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris, berkata hanya majlis tersebut mempunyai kuasa untuk membubarkan bahagian dan cawangan.

Sementara itu, Harris berkata badan perhubungan negeri juga tidak mempunyai hak untuk mengumumkan atau mengesahkan pembubaran bahagian dalam negeri masing-masing dan undang-undang sama terpakai kepada sayap-sayap.

“Menjadi ahli, memegang atau meletakkan jawatan adalah hak individu yang dijamin bawah Perlembagaan Persekutuan Perkara 10 kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan. Tetapi untuk mengumumkan pembubaran bahagian, jawatankuasa atau individu termasuk ketua bahagian tidak mempunyai hak sama sekali,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.