Alunan piano sumber rezeki ibu tunggal pasca tragedi Covid-19

Alunan piano sumber rezeki ibu tunggal pasca tragedi Covid-19

Loke Kim Yen membesarkan dua anak termasuk seorang OKU dengan penuh kasih sayang di sebalik cabaran pendapatan.

ZIARAH KASIH YKM
Loke Kim Yen mahu kuat untuk membesarkan dua anaknya termasuk Soh Zhe Hon, OKU masalah pembelajaran yang turut disahkan autism serta ADHD.
JOHOR BAHRU:
Bunyi piano lazimnya mengalun merdu untuk menghiburkan telinga pendengar, mengisi ruang majlis atau menenangkan jiwa.

Namun, bagi Loke Kim Yen alunan kekunci hitam putih itu membawa makna lebih mendalam sebagai sumber rezeki dan kekuatan untuk meneruskan hidup bersama dua anaknya selepas kehilangan suami.

Di sebuah rumah di Jalan Merak, Larkin Jaya, di sini, Loke, 51, membesarkan anak-anaknya dengan penuh ketabahan sejak suaminya, Soh Kek Yong, meninggal dunia akibat Covid-19 pada September 2021.

“Waktu itu anak-anak masih kecil, seorang berusia 11 tahun dan seorang lagi 13 tahun,” kata guru piano itu yang kini memikul peranan sebagai ‘ibu dan bapa serentak’.

Menerima pendapatan kurang RM2,000 sebulan dan bayaran sekitar RM100 bagi setiap pelajar, kehidupannya jauh daripada selesa, namun Loke tidak pernah berputus asa.

ZIARAH KASIH YKM
Loke Kim Yen sentiasa cuba mencari masa untuk bersama anaknya di sebalik kesibukan bekerja.

“Dulu kalau saya kena kerja, suami boleh tolong hantar dan ambil anak sekolah. Bila dia tiada, saya tak boleh kerja macam biasa sebab tiada orang jaga anak,” katanya.

Anak sulungnya, Soh Zhe Hon, 18, dikategorikan sebagai orang kurang (OKU) masalah pembelajaran serta disahkan autism serta gangguan kurang daya tumpuan dan hiperaktif (ADHD).

Remaja itu kini belajar di Pusat Pendidikan Khas Integrasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Utara 2 manakala anak bongsu Loke, Soh Zhe Qi, 16, pula bersekolah di Sekolah Menengah Foon Yew.

Sebagai ibu tunggal, rutin harian Loke padat dan berdisiplin. Setiap hari dia bangun seawal 5.30 pagi untuk memasak dan menghantar anak-anak ke sekolah yang berbeza.

“Dalam 7.30 pagi saya sampai rumah, rehat sekejap sebelum pergi mengajar piano. Kalau tiada kelas, saya kemas rumah dan masak. Pukul 1 tengah hari ambil anak balik sekolah, makan sama-sama. Lepas ambil anak bongsu balik sekitar 3 lebih, barulah saya keluar kerja sampai malam,” katanya.

Walaupun sering meninggalkan anak-anak di rumah ketika bekerja, Loke berkata dia tidak terlalu risau kerana kedua-duanya sudah belajar berdikari.

“Mereka tahu jaga diri sendiri. Kalau apa-apa, mereka boleh telefon saya. Setakat ini, tiada apa-apa berlaku,” katanya dengan nada tenang.

Kehilangan suami bukan sahaja menguji kewangan, tetapi juga emosi. Namun Loke memilih untuk bangkit demi anak-anaknya.

“Saya mesti kuat sebab hanya ada saya sahaja untuk besarkan anak-anak, perlu kuat untuk anak,” katanya.

Ditanya harapan untuk masa depan, Loke hanya mahu melihat anak-anak mampu berdikari dan menjalani kehidupan baik terutama bagi Zhe Hon yang kini mengikuti pembelajaran kemahiran membuat roti.

“Saya harap dia boleh jadi pembuat roti yang bagus dan boleh kerja sendiri nanti selepas dapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM),” katanya penuh harapan.

ZIARAH KASIH YKM
Kunjungan Ismail Sabri Yaakob tambah keceriaan Loke Kim Yen menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.

Sinar kebahagiaan menyinari keluarga kecil itu apabila menerima kunjungan Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) Ismail Sabri Yaakob sempena sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.

Zhe Hon dan Zhe Qi menjadi anak angkat bawah YKM yang menerima bantuan kewangan sehingga usia 18 tahun, malah diteruskan ke peringkat pengajian tinggi sehingga tamat ijazah pertama.

Loke mengakui kunjungan itu memberi makna besar buat keluarganya.

“Anak-anak sangat gembira, saya pun rasa sangat beruntung sebab Datuk Seri (Ismail Sabri) datang rumah saya,” katanya mengimbas semula kunjungan bekas perdana menteri itu.

Bagi Loke, sumbangan dan perhatian yang diterima bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi suntikan semangat untuk terus melangkah ke hadapan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.