
Namun, disebabkan virus itu, yang kemudiannya membawa kepada penutupan sempadan Malaysia-Singapura dengan keluarga itu hanya mampu berhubungan hanya melalui panggilan telefon selama 10 minit sahaja, pada setiap bulan.
“Seluruh keluarga akan berkumpul di rumah kakak saya setiap Ahad, bersama-sama menunggu panggilan telefon pada 2 petang,” kata Angelia pada forum anjuran jaringan Asia menentang hukuman mati.
Pihak berkuasa penjara di Changi, Singapura, kemudian menaikkan tempoh panggilan telefon kepada 30 minit seminggu atas permintaan keluarga.
Tidak dapat melihat Pannir secara fizikal merupakan kesukaran buat keluarga itu.
“Dia sentiasa mengukir senyuman di wajahnya setiap kali kami datang melawat, ini membuatkan perjalanan ulang-alik ke Singapura berbaloi walaupun kepenatan,” kata Angelia.
“Walaupun kami hanya dapat membayangkan raut wajahnya sahaja ketika panggilan telefon, sekurang-kurangnya kami berpeluang mendengar suaranya.”
Lawatan ke penjara di Singapura disambung semula awal tahun ini, menggantikan panggilan telefon yang biasa dibuat Angelia dan keluarganya.
“Kadang-kadang, saya masih merenung jam setiap 2 petang kerana sedih apabila terpaksa berdepan dengan realiti sebenar,” katanya.
Pannir dijatuhi hukuman mati kerana mengedar 51g heroin pada 2017. Dia sepatutnya dihukum mati pada Mei 2019 – bagaimanapun penangguhan hukuman itu diperoleh hanya sehari sebelum hukuman mati dijadualkan.
Penangguhan itu dibuat selepas peguam Pannir meminta semakan kehakiman berhubung dakwaan pelanggaran hak berkomunikasi antara banduan yang akan dihukum mati dengan peguam mereka.
Bagaimanapun, permohonan Pannir telah ditolak oleh Mahkamah Rayuan Singapura pada November dan tarikh pelaksanaan hukuman mati baharu dijangka ditetapkan.
Malaysia dan Singapura adalah antara negara yang masih belum memansuhkan hukuman mati.