Marah isteri dipenjara, Zaim mahu penyiasat baharu kes bunuh Zayn

Marah isteri dipenjara, Zaim mahu penyiasat baharu kes bunuh Zayn

Zaim Ikhwan Zahari berkata beliau akan mendoakan agar semua yang terlibat dalam ‘ketidakadilan terhadap keluarga saya’ mendapat balasan Tuhan.

Zaim Ikhwan Zahari
Zaim Ikhwan Zahari berkata dia perlu reda hukuman penjara dikenakan ke atas isterinya seperti beliau menerima kenyataan kematian anak mereka.
PETALING JAYA:
Bapa kepada kanak-kanak autistik berusia enam tahun, Zayn Rayyan Abdul Matin, meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan Mahkamah Sesyen yang menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada isterinya kerana mengabaikan anak mereka yang meninggal dunia.

Zaim Ikhwan Zahari, 30, berkata beliau sukar menerima keputusan itu, tetapi mengakui perlu reda, sama seperti beliau menerima kenyataan mengenai kematian anaknya.

“Saya kecewa dengan keputusan hari ini. Saya mendoakan agar semua yang terlibat dalam ketidakadilan dan fitnah terhadap keluarga saya mendapat balasan Tuhan.

“Saya menyeru polis supaya menyiasat untuk menjejaki pembunuh anak saya yang masih bebas,” katanya kepada FMT selepas prosiding mahkamah di sini.

Zaim turut meminta Bukit Aman melantik pegawai penyiasat baharu bagi menyiasat kes pembunuhan anaknya kerana dia tidak lagi yakin dengan pegawai penyiasat sedia ada berikutan kekurangan ketelusan.

FMT telah menghubungi polis untuk mendapatkan ulasan.

Zaim hilang sabar di mahkamah selepas hakim Syahliza Warnoh menolak permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara terhadap isterinya, Ismanira Abdul Manaf, semasa rayuan beliau ke Mahkamah Tinggi.

Ismanira, 30, diarahkan untuk memulakan hukuman penjara dengan serta-merta.

Zaim kedengaran menjerit, “Semoga Allah melaknat kamu.” sebelum dipujuk bapanya, Zahari Reba.

Beliau kemudian berkata akan mendedahkan semuanya pada sidang media tetapi membatalkannya.

Dalam penghakimannya, Syahliza mendapati Ismanira bersalah mengabaikan Zayn, dengan berkata pihak pendakwaan telah membuktikan kesnya melebihi keraguan munasabah.

Mahkamah turut memerintahkan Ismanira menandatangani bon tingkah laku baik selama dua tahun dengan seorang penjamin serta deposit keselamatan RM3,000. Beliau juga perlu menjalani 120 jam khidmat masyarakat dalam tempoh enam bulan selepas menamatkan hukuman penjara.

Zayn dilaporkan hilang di Damansara Damai pada 5 Disember 2023 dan ditemui meninggal dunia keesokan harinya.

Pemeriksaan bedah siasat mendedahkan pelbagai kecederaan, termasuk luka pertahanan. Punca kematian dipercayai akibat dicekik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.