Tanya Saifuddin, kata Guan Eng berkait keputusan Batu Puteh

Tanya Saifuddin, kata Guan Eng berkait keputusan Batu Puteh

Bekas menteri kewangan itu berkata, dua rakan menteri dalam kerajaan PH terdahulu mencadangkan Malaysia menarik balik tuntutan itu.

Malaysia dan Singapura ke mahkamah antarabangsa di The Hague pada 2008 untuk menentukan kedaulatan Batu Puteh. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Lim Guan Eng berkata, dua menteri dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) mengesyorkan Malaysia menarik balik permohonan semakan kehakiman terhadap kedaulatan Batu Puteh yang diberikan kepada Singapura.

Lim yang juga menteri kewangan semasa PH memerintah selama 22 bulan berkata, walaupun beliau tidak “mengikut” isu Batu Puteh, tetapi dalam ingatannya, syor itu dikemukakan menteri undang-undang dan menteri luar dalam mesyuarat Jemaah Menteri.

Saifuddin Abdullah adalah menteri luar, manakala mendiang Liew Vui Keong ialah menteri undang-undang ketika itu. Liew meninggal dunia pada 2020.

“Saya fikir adalah tidak patut untuk saya cakap apa-apa kerana ia adalah cadangan mereka. Semak dengan menteri luar, mengapa mereka membuat syor itu,” katanya kepada FMT.

Semalam, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata, Jemaah Menteri dimaklumkan kemungkinan terdapat kecuaian dan kekhilafan oleh Perdana Menteri ketika itu, Dr Mahathir Mohamad berhubung tuntutan ke atas Batu Puteh.

Katanya, Jemaah Menteri dimaklumkan oleh pasukan petugas khas dalam kes itu bahawa Mahathir mungkin membuat kesilapan tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran penghakiman pada 11 Jun 2018.

Ismail berkata, kerajaan bersetuju meneruskan tindakan perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam memperjuangkan kedaulatan ke atas Batu Puteh dan Putrajaya akan mengambil semua langkah wajar untuk mempertahankan kedaulatan Malaysia.

FMT telah menghubungi Saifuddin dan pejabat Mahathir untuk mendapatkan maklum balas.

Sementara itu, bekas menteri pembangunan usahawan, Redzuan Yusof mendakwa kesilapan itu dilakukan pentadbiran terdahulu yang dipimpin bekas perdana menteri, Najib Razak.

“Mahathir dan Kabinet mahu mentakrifkan kecuaian dan pemantauan, seperti kegagalan menentukan dan menyerahkan sempadan kita oleh pentadbiran terdahulu,” katanya.

Ditanya sama ada PH tidak dapat menyelesaikan isu Batu Puteh kerana tempoh pemerintahan singkat, Redzuan berkata, beliau “tidak ingat dengan tepat”.

Bekas menteri sumber manusia, M Kula Segaran dan bekas menteri wilayah Persekutuan, Khalid Samad pula enggan mengulas lanjut dan berkata, mereka perlu “menyemak nota” berhubung isu itu.

Bekas menteri pengangkutan, Loke Siew Fook juga enggan mengulas kerana tidak ingat sama ada Mahathir atau Jemaah Menteri membuat keputusan untuk menarik balik permohonan itu.

Menteri industri utama ketika itu, Teresa Kok berkata, beliau tidak ingat dan meminta wartawan mengesahkannya dengan Mahathir sendiri.

Pada 2008, ICJ memutuskan Batu Puteh adalah milik Singapura, Batuan Tengah milik Malaysia dan Tubir Selatan kepunyaan negara di perairan wilayah ia berada.

Pada Jun 2017, Malaysia memohon kepada ICJ untuk meminta tafsiran penghakiman itu dan pada 2018, kerajaan PH pimpinan Mahathir menarik balik permohonan untuk membatalkan keputusan ICJ yang menganugerahkan kedaulatan Batu Puteh kepada Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.