Pembentangan Bajet 2023 tidak sia-sia walaupun Parlimen bubar, kata KJ

Pembentangan Bajet 2023 tidak sia-sia walaupun Parlimen bubar, kata KJ

Menteri kesihatan berkata, pembentangan bajet itu adalah komitmen Ismail Sabri Yaakob berkenaan perkara yang akan dibawa semula kepada Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum PRU15.

Khairy Jamaluddin berkata, pembentangan Bajet 2023 bukanlah sia-sia kerana ia akan dibawa semula ke Dewan Rakyat selepas PRU15. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Pembentangan Bajet 2023 7 Okt lalu tidak sia-sia walaupun Parlimen dibubarkan sebelum ia diluluskan, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Katanya, ini kerana pembentangan bajet itu adalah komitmen daripada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkenaan perkara yang akan dibawa semula kepada Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) sekiranya mandat diberi semula kepadanya.

“Jadi rakyat tahu bahawa ini yang akan dibawa semula oleh Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi Barisan Nasional sekiranya mendapatkan mandat dari rakyat. Ia tidak sia-sia.” katanya selepas merasmikan seminar pengurusan bencana dan majlis pelancaran buku “An Overview of Disaster Life Support In Disaster Management” di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, semua pembentangan bajet oleh Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz adalah perbelanjaan yang telahpun diperuntukkan.

“Ia bukan manifesto janji-janji yang tidak diperuntukkan. Itu perbezaan antara belanjawan dengan manifesto,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul berkata, pembentangan Bajet 2023 sebelum itu tidak sia-sia, walaupun Parlimen dibubarkan kerana ia akan dibentangkan semula selepas pilihan raya umum.

Beliau memberi contoh pada 1999 apabila Parlimen dibubarkan selepas belanjawan dibentangkan, di mana belanjawan sama dibentangkan semula kepada Jemaah Menteri selepas pilihan raya.

Tengku Zafrul juga berkata, Bajet 2023 tidak sia-sia kerana ia menumpukan hala tuju masa depan negara.

Susulan itu, media melaporkan Perikatan Nasional (PN) menyifatkan pembentangan Bajet 2023 hanya sia-sia sedangkan ia belum diluluskan, malahan Parlimen sudah dibubarkan.

Ketua Penerangan PN, Azmin Ali berkata, ia juga membazir sumber tenaga dan masa anggota perkhidmatan awam yang telah berhempas-pulas mengerah fikrah dan tenaga bagi menyediakan bajet itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.