Papan tanda informasi Pertempuran Kampar didirikan

Papan tanda informasi Pertempuran Kampar didirikan

Didirikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Kampar, Perak lokasi pertempuran antara tentera British dan Jepun ketika Perang Dunia Kedua.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad (kanan) memegang peta di hadapan papan informasi Pertempuran Kampar. (Gambar Bernama)
KAMPAR:
Papan tanda informasi sejarah ‘Battle of Kampar’ atau Pertempuran Kampar ketika Perang Dunia Kedua akhirnya berjaya didirikan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampar, Perak setelah melalui pelbagai rintangan sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Kumpulan Sejarah Malaya (MHG), Shaharom Ahmad, berkata hasrat pihaknya untuk mengangkat sejarah Pertempuran Kampar sebagai produk pelancongan tercapai setelah sekian lama berusaha mempromosi lokasi bersejarah tersebut kepada orang ramai.

“Hari ini MHG dengan kerjasama SMK Kampar telah berjaya memasang dan merasmikan papan tanda informasi baharu Pertempuran Kampar di pekarangan laman sejarah sekolah ini.

“Papan tanda baharu ini memaparkan maklumat beserta gambar selain peta ringkas yang mudah difahami berkenaan dengan Pertempuran Kampar yang berlaku pada 30 Dis 1941 hingga 2 Jan 1942, ” katanya ketika ditemui media selepas perasmian papan tanda tersebut.

Menurutnya, Ogos lalu pihaknya akur dan menerima keputusan dengan menanggalkan papan tanda yang diletakkan di tapak pertempuran di ‘Green Ridge’ di sini, setelah timbul isu berbangkit berhubung kehadiran papan tanda itu.

Tapak pertempuran seluas 6.47 hektar itu merupakan bukti pertempuran hebat di antara 1,500 tentera British yang disertai askar India, Sikh dan Gurkha menentang 4,000 tentera Jepun selama empat hari empat malam.

Pertempuran itu mengakibatkan 150 tentera British serta 500 tentera Jepun maut dan dikebumikan di satu tempat di kawasan sama, dikenali sebagai `Green Ridge’.

Sebelum ini tular di media sosial memperlihatkan papan tanda informasi yang menunjukkan peta serta keterangan Pertempuran Kampar ditanggalkan malah papan tanda terbabit pernah dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab awal Januari lalu.

Shaharom berkata dengan adanya papan notis terbabit pengunjung akan sedar kepentingan dan kerelevanan sejarah Perang Dunia II yang ada dalam negara.

“Kami juga harapkan ia boleh memberi nilai tambah kepada lokasi sejarah sekali gus dapat menarik lebih ramai pelancong untuk mengunjungi daerah Kampar ini,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.