‘PAS alu-alukan MCA’, Ahli Parlimen DAP gesa Wee sertai pembangkang

‘PAS alu-alukan MCA’, Ahli Parlimen DAP gesa Wee sertai pembangkang

Chong Zhemin (PH–Kampar) sindir Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) hanya pandang blok pembangkang dalam Dewan Rakyat.

Ketika membahaskan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini, Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) ditegur Timbalan Speaker Alice Lau supaya tidak hanya memandang ke arah blok pembangkang.
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen DAP mencadangkan Presiden MCA Wee Ka Siong agar menyertai PAS selepas didakwa lebih mendapat sokongan daripada blok pembangkang di dalam Dewan Rakyat.

Chong Zhemin (PH–Kampar) berkata demikian selepas Wee ditegur Timbalan Speaker Alice Lau supaya tidak hanya memandang ke arah blok pembangkang semasa berbahas.

“Ahli Parlimen Ayer Hitam berucap ke arah pembangkang, bolehlah sertai pembangkang. Masuk PAS … PAS alu-alukan MCA,” kata Chong ketika mencelah selepas Wee membahaskan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Sebelum itu, Lau berkata, berdasarkan Peraturan Mesyuarat 31(1), mana-mana ahli yang dipanggil oleh pengerusi Dewan hendaklah berdiri dan mengarahkan ucapannya kepada pengerusi, bukan hanya kepada blok tertentu.

Bagaimanapun, Ronald Kiandee (PN–Beluran) bangun mencelah mempertahankan Wee, mendakwa tindakan itu susulan selalu mendapat serangan daripada Ahli Parlimen DAP di dalam Dewan Rakyat.

“Beliau pandang sini sebab dapat sokongan daripada sini. Beliau tak boleh pandang sana sebab DAP serang dia,” katanya.

Ketika sesi perbahasan, turut berlaku pertikaman lidah antara Wee dan Chong apabila Ahli Parlimen Ayer Hitam itu mendakwa kerajaan melakukan ‘rompakan cukai’, menyentuh pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).

Chong membidas dakwaan Wee, menuduhnya mengelirukan Dewan Rakyat, seterusnya meminta Wee menarik balik kenyataan tersebut.

Lau kemudian meminta Chong membuat usul kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul jika tidak berpuas hati dengan kenyataan Wee itu.

Dalam perbahasannya, Wee turut menggesa agar Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dijadikan badan berkanun bebas di bawah seliaan Parlimen.

Katanya, langkah pemisahan jelas ini supaya LHDN tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik dan tekanan fiskal kerajaan.

“Jadikan ini sebagai reformasi Parlimen yang penting,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.