
Setiausaha Agung Umno itu berkata, anggota Jemaah Menteri daripada PN sepatutnya menyuarakan pandangan berhubung perkara itu pada mesyuarat Jemaah Menteri.
“Selaku anggota Jemaah Menteri, mereka (sepatutnya) boleh menyelesaikannya dalam mesyuarat,” katanya pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Bahagian Pontian hari ini, lapor Sinar Harian.
Ahmad berkata, tindakan itu turut memberi gambaran bahawa sokongan kepada Ismail Sabri Yaakob semakin berkurangan dalam Jemaah Menteri.
“Perkara berkaitan tidak bersetuju sepatutnya tidak dibincangkan di luar kerana ia melambangkan rasa tidak percaya kepada perdana menteri, semakin kurang keabsahan,” katanya.
Tambahnya, isi kandungan warkah dan penyampaiannya kepada Agong juga tidak wajar disebarkan.
Semalam Naib Presiden Bersatu Radzi Jidin dilapor mengesahkan bahawa 12 menteri PN mengutuskan warkah kepada Sultan Abdullah bagi menyatakan pendirian mereka berhubung PRU15.
Katanya, mereka berpendapat kebajikan rakyat patut menjadi tumpuan utama pada masa ini.