Bajet 2022 selamatkan kami, kata usahawan PKS

Bajet 2022 selamatkan kami, kata usahawan PKS

Pemilik perniagaan berkata geran dan pinjaman menerusi Bajet 2022 sangat penting untuk mereka kekal beroperasi, malah terus berkembang.

Bantuan kewangan kepada usahawan mikro cukup penting demi pengembangan operasi terutama selepas berdepan kesan pandemik.
PETALING JAYA:
Menjelang pembentangan Bajet 2023 pada 7 Okt, usahawan tampil berkongsi pengalaman mereka mengenai inisiatif Bajet 2022 yang telah banyak membantu mereka bangkit kembali selepas pandemik Covid-19.

Louise Chu, yang mengusahakan syarikat penjagaan kulit Claire Organics, berkata geran pendigitalan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan saja membantu syarikatnya kekal beroperasi malah mengembangkannya.

“Disebabkan pandemik (Covid-19), kami bergelut untuk mengekalkan aliran tunai serta mendigitalkan operasi.

“Geran itu membolehkan kami menggunakan teknologi digital untuk menaik taraf perniagaan kami, yang sangat penting memandangkan sebahagian daripada model kami bergantung pada e-dagang,” katanya kepada FMT.

Chu berkata, pertumbuhan hasil syarikat sebanyak 30% tidak akan dapat dicapai tanpa geran RM5,000 daripada kerajaan.

P Vengadise, yang mengusahakan kedai pembekal makanan di Sitiawan, Perak, berkata pinjaman mikro Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diperolehnya pada Januari tahun ini penting untuk memastikan perniagaannya terus beroperasi.

“Pada Januari, harga barangan dan bahan mentah mula meningkat dan kami tidak mempunyai wang yang cukup untuk membeli bekalan,” katanya. “Tetapi apabila saya mendapat pinjaman, saya boleh meningkatkan jualan kami dengan membeli lebih banyak barangan.”

Vengadise berkata, beliau berterima kasih kepada kerajaan, kementerian kewangan dan BSN kerana pinjaman hampir RM40,000 itu.

Bajet 2022, yang dibentangkan di Parlimen Oktober lalu menawarkan pelbagai skim dan geran untuk membantu PKS dan usahawan mikro bangkit daripada dihimpit wabak itu.

Dana untuk usahawan mikro disalurkan melalui agensi seperti Tekun, Agrobank, BSN dan Bank Rakyat manakala RM14 bilion disediakan untuk PKS melalui SME Bank, Agrobank dan beberapa institusi lain.

Had jaminan pembiayaan perniagaan juga dinaikkan, memudahkan PKS mendapatkan pembiayaan ketika kegawatan ekonomi dan sekatan operasi perniagaan disebabkan oleh pandemik yang melanda seluruh dunia itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.