Tiada konflik dengan Zuraida, tapi saya masih presiden PBM, kata Larry

Tiada konflik dengan Zuraida, tapi saya masih presiden PBM, kata Larry

Pengasas Parti Bangsa Malaysia berkata walaupun sudah bersetuju memberi laluan kepada Zuraida Kamaruddin, beliau tidak mahu terperangkap jika tarikh pilihan raya diumumkan tidak lama lagi.

Larry Sng menegaskan tidak timbul konflik antaranya dengan Zuraida Kamaruddin berhubung jawatan presiden.
PETALING JAYA:
Pengasas Parti Bangsa Malaysia (PBM), Larry Sng, berkata beliau masih presiden parti, namun menegaskan tiada konflik antaranya dengan Zuraida Kamaruddin, yang diumumkan sebagai presiden baharu, semalam.

Ahli Parlimen Julau itu berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah memberi laluan kepada Zuraida, tetapi mahu peralihan berlaku mengikut “prosedur betul” bagi mengelak berdepan masalah dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM).

Sng berkata, beliau sudah memberi penjelasan kepada Zuraida dan kepimpinan tertinggi parti bahawa tidak akan meletak jawatan dalam tempoh terdekat kerana parti perlu mempertimbangkan kemungkinan pilihan raya umum diadakan tidak lama lagi.

Katanya, justeru, sebarang keputusan terus meletakkan jawatan akan mengundang masalah kepada PBM untuk membariskan calon pilihan raya.

“Sekiranya Parlimen bubar dalam tempoh beberapa hari ini dan tarikh pilihan raya umum ke-15 (PRU15) ditetapkan, saya akan menandatangani watikah kerana saya secara rasmi sebagai presiden. Jadi, saya kata, biarkan dulu fasa tidak menentu berlalu sebelum saya menyerahkan kepadanya (jawatan presiden).

“Surat watikah hanya boleh ditandatangani presiden yang namanya berada dalam rekod JPPM, atau kita akan berdepan risiko calon tidak layak bertanding pada hari penamaan calon, selain jika calon PBM menang ia akan dicabar mengikut perundangan,” katanya kepada FMT.

Semalam, Ketua Penerangan PBM Zakaria Abdul Hamid, dilapor mengumumkan Zuraida kini secara rasmi sebagai presiden parti, sambil mendakwa menteri perusahaan perladangan dan komoditi itu menerima sokongan sebulat suara, pada Persidangan Agung Tahunan parti itu.

Hari ini, memetik Malaysiakini, Zakaria berkata, Majlis Tertinggi PBM akan “menjalankan due process (proses sewajarnya), urusan teknikal termasuk pemakluman kepada JPPM”, bagi mengangkat Zuraida sebagai presiden baharu.

Sng berkata, beliau terkejut dengan pengumuman Zakaria mengambil kira prosedur tertentu perlu diikuti sebelum parti dibenarkan memilih presiden baharu, yang mana penyandang perlu meletak jawatan terlebih dulu atau dipecat.

“Saya belum meletak jawatan dan tidak dipecat dan saya sudah memaklumkan kepada mereka bahawa saya akan memberi laluan sebaik sahaja masalah PRU15 diselesaikan oleh parti pemerintah. Jadi, kita tunggu beberapa hari akan datang untuk melihat bagaimana keadaannya,” katanya.

“Lebih penting, JPPM mesti secara rasmi dimaklumkan berhubung penukaran itu. Mereka memantau hal ehwal semua parti secara dekat. Sekiranya, pilihan raya umum tidak berlaku, kami akan merancang peralihan secara tersusun,” katanya.

Ditanya apa akan berlaku sekiranya Parlimen bubar dalam tempoh beberapa hari atau minggu lagi, Sng berkata, beliau masih presiden PBM dalam rekod JPPM, justeru akan menandatangani watikah.

Dalam kenyataan pada Jumaat, Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata Umno mencapai konsensus pembubaran Parlimen hendaklah diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan PRU15 diadakan tahun ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah selaras Perkara 40 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.