Reset mahu jadi jambatan parti politik, NGO dan teknokrat

Reset mahu jadi jambatan parti politik, NGO dan teknokrat

Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah berkata gerakan lebih luas dapat bantu mencapai membina Malaysia lebih baik, maju, makmur dan bahagia.

saifuddin abdullah
Saifuddin Abdullah berkata Reset juga mahu menyatukan semua kelompok masyarakat.
PETALING JAYA:
Gerakan Reset mahu menjadi jambatan antara parti politik, badan masyarakat sivil, profesional, teknokrat, cendekiawan dan usahawan dalam usaha membina platform politik dan dasar lebih inklusif, kata Saifuddin Abdullah.

Ahli Parlimen Indera Mahkota berkata, berpaksikan gagasan Konsensus Nasional Baharu, Reset bukan hanya tertumpu kepada parti politik, sebaliknya mahu menghimpunkan pelbagai kelompok rakyat dalam satu gerakan lebih luas.

Katanya, ia bagi mencapai matlamat membina Malaysia lebih baik, maju, makmur dan bahagia.

“Reset menggabungkan dan menjadi jambatan dalam kalangan sahabat dan taulan, parti politik dan badan masyarakat sivil, profesional dan teknokrat, cendekiawan dan usahawan,” katanya dalam kenyataan media.

Mac lalu, Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin yang mengasaskan gerakan Reset dilaporkan berkata beliau yakin mampu menjadi ‘jambatan’ antara dua gabungan politik besar bagi memastikan kestabilan politik dan kemajuan negara.

Menurutnya, landskap politik Malaysia ketika ini memerlukan seseorang yang boleh merapatkan jurang antara pelbagai kumpulan politik bagi membentuk pasukan lebih besar dan stabil.

Mengulas lanjut, Saifuddin yang juga bekas menteri luar negeri turut menekankan hasrat Reset menyatukan semua kelompok rakyat termasuk Melayu, Islam dan Bumiputera serta bukan Melayu, bukan Islam dan bukan Bumiputera secara ‘inklusif, partisipatif dan efektif’.

Katanya, ini selaras pemikiran ‘Malaysia yang diidami’, dengan memberi tumpuan kepada perkara asas, fundamental dan substantif.

Dalam aspek tadbir urus, Saifuddin berkata Reset mencadangkan kerangka governans baharu yang membabitkan tiga sektor utama pembangunan, iaitu kerajaan, perniagaan atau swasta dan masyarakat sivil.

Selain membina jaringan antara parti politik, masyarakat sivil dan teknokrat, Saifuddin berkata dokumen Reset turut menggariskan cadangan pembaharuan institusi.

“Ia termasuk pemisahan tugas peguam negara dan pendakwa raya, penambahbaikan kaedah pelantikan anggota badan kehakiman, serta pembaikan kaedah pelantikan ketua agensi penting seperti Suruhanjaya Pilihan Raya dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.

Saifuddin berkata, dokumen Reset juga mencadangkan penubuhan suruhanjaya undang-undang bagi menyemak dan memperbaiki ketidakharmonian antara undang-undang bawah Perlembagaan Persekutuan dan enakmen negeri.

“Suruhanjaya itu juga boleh menilai undang-undang lapuk, undang-undang tidak berperlembagaan, penyeragaman undang-undang yang terlalu banyak bagi sesuatu bidang, serta penggubalan undang-undang baharu mengikut keperluan semasa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.