
Brian Bouffard menuduh mahkamah tentera mencipta “drama undang-undang berpanjangan” untuk terus menahan suspek di penjara.
Katanya, pendengaran seterusnya pada 1 dan 2 Nov, selepas ia ditangguhkan selama 15 bulan apabila pihak pembelaan mengadu penterjemah bahasa Malaysia dan Indonesia tidak cekap.
“Sekiranya rakyat saya benar-benar mengambil berat tentang keadilan, akauntabiliti dan hak asasi manusia, kita perlu bertindak lebih daripada sekadar bercakap. Bercakap adalah mudah. Ia membolehkan kita berpura-pura.

“Untuk menunjukkan penghormatan, keberanian dan komitmen dengan membicarakan tahanan ini dengan adil dan segera atau membebaskan mereka adalah lebih mencabar,” katanya kepada FMT.
Bouffard adalah peguam utama untuk Mohammed Nazir Lep yang ditahan hampir 20 tahun dalam kurungan bersendirian di kompleks penjara berkenaan.
Nazir bersama seorang lagi rakyat Malaysia, Mohammed Farik Amin dan warga Indonesia, Encep Nurjaman didakwa atas lapan tuduhan bersama, termasuk serangan bom yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan serangan bom di Hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003.
Mereka ditahan di Thailand pada 2003 dan dihantar ke lokasi rahsia CIA, sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Bouffard berkata, tiada akauntabiliti yang jelas dan jujur untuk mereka yang membenarkan serta melakukan penderaan terhadap suspek dan “sudah tentu tiada apa” yang mampu menghalang mereka daripada menahan mangsa selama-lamanya.
Katanya, alternatif yang mulia adalah mempercepatkan perbicaraan awam yang adil, tetapi Bouffard mengakui platform sedemikian sering mempunyai cara untuk mendedahkan orang jahat di peringkat tinggi.
“Sudah pasti mereka tidak akan membenarkan ia berlaku. Ini amat menyinggung perasaan saya dan orang kain yang membela tahanan ini.”
Beliau juga menggesa hakim untuk menghalang sebarang campur tangan kerajaan terhadap keistimewaan antara peguam dan anak guam. Beliau tidak mengulas lanjut dan berkata “gangguan ini hanya pautan kecil terbaharu dalam rantaian penderaan tidak terputus terhadap lelaki yang ditahan di sini”.
Dalam perbicaraan mereka pada 30 dan 31 Ogos tahun lalu, ketiga-tiga tahanan itu enggan membuat pengakuan kerana mendakwa penterjemah berat sebelah dan tidak cekap.