Militan Bangladesh kumpul dana untuk IS di Syria

Militan Bangladesh kumpul dana untuk IS di Syria

Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata kumpulan itu kumpul dana dengan memungut RM500 setahun bagi setiap ahli.

Mohd Khalid Ismail
Ketua Polis Negara Khalid Ismail berkata pihaknya mula mengesan kegiatan kumpulan tersebut melalui propaganda disebarkan di Facebook.
KUALA LUMPUR:
Militan warga Bangladesh yang ditumpaskan polis baru-baru ini dipercayai mengumpul dana dan merekrut ahli bagi menyokong kumpulan pengganas IS di Syria serta negara mereka.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail, berkata kumpulan itu mengumpul dana dengan memungut RM500 setahun daripada setiap ahli yang kini dipercayai seramai 150 orang.

Katanya, warga Bangladesh terbabit bekerja dalam sektor buruh seperti kilang, pembinaan dan stesen minyak di Malaysia.

“Kita kesan di peringkat awal ada dalam 100 ke 150 individu terlibat. Selain wang keahlian, mereka bergantung kepada sumbangan ahli.

“Sumbangan dan wang keahlian dikutip melalui TnG, bKash (penyedia perkhidmatan kewangan mudah alih di Bangladesh) serta perkhidmatan penghantaran wang antarabangsa,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman mengenai perkembangan siasatan Kumpulan Gerakan Militan Radikal Bangladesh (GMRB).

Pada 27 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan polis menahan 36 warga Bangladesh disyaki terlibat secara langsung dalam gerakan militan radikal berpaksikan fahaman ekstremis dan ideologi keganasan.

Penahanan itu dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April.

Sementara itu, Khalid berkata pihaknya mula mengesan kegiatan kumpulan tersebut melalui propaganda disebarkan di Facebook dan mereka dipercayai menggunakan WhatsApp serta Telegram untuk meluaskan pengaruh.

“Ini termasuk untuk menyusun aktiviti secara rahsia dan mengadakan perjumpaan ahli. Ahli yang telah melafazkan (jadi ahli) dalam talian akan bertanggungjawab sebagai ketua dan mewujudkan kawasan tertentu bagi memperluaskan pengaruh gerakan tersebut,” katanya.

Katanya, Malaysia bukan negara sasaran utama atau transit untuk kumpulan tersebut, sebaliknya hanya destinasi mendapatkan peluang pekerjaan khususnya dalam sektor buruh seperti kilang, tapak pembinaan dan perkhidmatan.

Menurutnya, sepanjang tempoh berada dan bekerja di Malaysia, sebahagian mereka terpengaruh fahaman radikal dan ideologi ekstremis dibawa masuk dari negara asal serta yang berada di peringkat antarabangsa.

“Implikasi keselamatan kepada negara kita adalah Malaysia berisiko menjadi hab logistik dan transit militan asing, seterusnya mencemar imej negara kepada elemen radikal.

“Jika tidak ditangani isu ini akan menjejaskan imej Malaysia dan hubungan diplomatik serantau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.