‘Syukur kalau rezeki dia dapat balik’, kata abang Nazir tahanan Guantanamo

‘Syukur kalau rezeki dia dapat balik’, kata abang Nazir tahanan Guantanamo

Bagaimanapun, Najib Lep berkata keluarga tidak menerima pemakluman rasmi setakat ini.

Bekas Adun Bukit Pasir Najib Lep bersyukur dengan berita pembebasan adiknya Nazir dari tahanan di Teluk Guantanamo. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Keluarga kepada Nazir Lep, salah seorang daripada rakyat Malaysia yang dihantar pulang Amerika Syarikat (AS) selepas 20 tahun ditahan di Teluk Guantanamo memanjatkan kesyukuran dengan berita gembira itu.

Bagaimanapun, abangnya, Najib yang juga bekas Adun Bukit Pasir di Johor memaklumkan mereka tidak menerima pemakluman rasmi daripada kerajaan berhubung perkara itu,.

“Kita tengok keluar dalam media dan orang bagi sahaja.

“Kalau rezeki dia dapat balik, Alhamdulillah,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan memaklumkan kerajaan menerima Nazir dan Farik Amin daripada pihak berkuasa AS berdasarkan ‘prinsip hak asasi manusia dan dukungan keadilan sejagat’.

Kedua-duanya ditahan Guantanamo Bay sejak 2006 selepas mengaku bersalah bersubahat dalam serangan bom di Bali 2002.

Pada Sept 2023, FMT melaporkan Najib Lep gigih membina sebuah rumah di Kampung Jeram Masjid, Muar untuk Nazir memulakan hidup baharu apabila pulang nanti. (Gambar Najib Lep)

Nazir, 47, dan Farik, 48, ditahan dalam kurungan sendirian sejak ditangkap pihak berkuasa AS di Thailand pada 2003 berhubung pengeboman Bali setahun sebelumnya.

Pada Januari lalu, mereka dijatuhi hukuman penjara 23 tahun oleh juri selepas mengaku bersalah atas peranan mereka dalam serangan itu melalui perjanjian pra-perbicaraan. Di bawah perjanjian itu, mereka boleh dibebaskan selepas lima tahun dan dihantar ke negara ketiga.

Kedua-duanya mengaku bersalah bersubahat dengan ‘dalang utama’ warga Indonesia, Encep Nurjaman, yang juga dikenali sebagai Hambali, untuk melaksanakan pengeboman Bali 2002 yang mengorbankan 202 nyawa.

Pada Sept 2023, FMT melaporkan Najib gigih membina sebuah rumah di Kampung Jeram Masjid, Muar untuk Nazir memulakan hidup baharu apabila pulang nanti.

Mereka menyediakan tanah untuk penanaman sayur-sayuran dan akuakultur bagi membolehkannya berdikari.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.