Penahanan militan bukti risikan negara tahap tinggi, kata Saifuddin

Penahanan militan bukti risikan negara tahap tinggi, kata Saifuddin

Menteri dalam negeri berkata kerajaan tidak akan berkompromi dalam hal keganasan susulan penahanan 36 militan Bangladesh.

handcuff
Polis menahan 36 warga Bangladesh disyaki terlibat dalam rangkaian militan dalam operasi di Selangor dan Johor antara April hingga Jun lalu.
PUTRAJAYA:
Kejayaan penahahan 36 warga Bangladesh yang disyaki terlibat dalam rangkaian militan di negara ini membuktikan perkhidmatan risikan Malaysia berada pada tahap tinggi, kata Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail.

“Kejayaan ini menunjukkan risikan kita berada di tahap tinggi, kerana jika tidak sudah pasti tiada tangkapan ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya.

Saifuddin berkata Malaysia tidak akan sesekali membenarkan wilayahnya dijadikan tempat untuk merekrut atau mengumpul dana bagi aktiviti keganasan.

“Bagi agensi yang terlibat, fokus kita ialah Malaysia tidak boleh dijadikan platform untuk merekrut atau mengumpul dana bagi aktiviti keganasan ini. Kita tidak akan berkompromi dalam hal keganasan,” katanya.

Warganegara Bangladesh tersebut ditahan dalam tiga operasi di Selangor dan Johor antara April dan Jun. Polis percaya mereka sedang merekrut ahli baharu bagi kumpulan IS dalam kalangan sektor buruh migran di Malaysia.

Ketua Polis Negara, Khalid Ismail berkata usaha merekrut tertumpu kepada individu yang bekerja di kilang, stesen minyak, dan tapak pembinaan. Aplikasi media sosial seperti Facebook, WhatsApp, dan Telegram turut digunakan untuk berhubung dengan bakal ahli.

Indeks sempadan baharu kukuh penguatkuasaan

Pada majlis sama, Saifuddin melancarkan Indeks Keselamatan Sempadan Negara (IKSN) yang disifatkannya sebagai pencapaian bersejarah dalam usaha negara memantau dan melindungi sempadannya.

“Hari ini kita melakar sejarah dengan pelancaran rasmi Indeks Keselamatan Sempadan Negara,” katanya.

Saifuddin berkata IKSN menjadi alat penting bagi mengukur prestasi, keberkesanan dan kesiapsiagaan agensi penguatkuasaan sempadan secara objektif dan berasaskan data.

Katanya, ia adalah hasil kajian menyeluruh dari perspektif agensi penguat kuasa, kepimpinan kanan, pemimpin masyarakat, NGO dan masyarakat umum, melibatkan 12 isu jenayah rentas sempadan.

Antara kategori yang mencatatkan skor ancaman terendah ialah penculikan untuk wang tebusan dan rompakan maritim (0.00), penyeludupan senjata api (0.22), dan jenayah siber (0.47).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.