Bincang dulu, Cuepacs bantah tubuh agensi tunggal kawal sempadan

Bincang dulu, Cuepacs bantah tubuh agensi tunggal kawal sempadan

Cuepacs berkata jika terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara ketika ini, kerajaan boleh menambah baik, bukannya diganti agensi baharu.

Cuepacs bantah penubuhan Agensi Kawalan Sempadan yang akan mengambil alih keseluruhan peranan dan tugas agensi kerajaan di pintu masuk negara, termasuk pelabuhan dan lapangan terbang.
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mengingatkan kerajaan berunding dengan wakil dan kesatuan pekerja dalam apa jua keputusan untuk memperkasakan perkhidmatan awam, termasuk cadangan penubuhan Agensi Kawalan Sempadan atau Single Border Agency (SBA).

Presidennya, Adnan Mat berkata, sekiranya terdapat kekurangan dalam pengoperasian pintu sempadan negara ketika ini, kerajaan boleh menambah baik pengoperasian itu, bukannya diganti agensi baharu.

“Koordinasi lebih baik antara agensi kerajaan di pintu masuk negara boleh diwujudkan, sekiranya perkara ini diperhalusi dengan baik.

“Rundingan dan sesi libat urus ini mampu memberi keputusan menang-menang antara majikan dan pekerja, sekali gus memperkasakan perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berkata, Cuepacs membantah penubuhan SBA untuk mengambil alih keseluruhan peranan dan tugas agensi kerajaan di pintu masuk negara, termasuk pelabuhan dan lapangan terbang, yang dibuat dalam Persidangan Perwakilan Tri Tahunan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia di Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Selain Kastam, katanya, beberapa agensi lain yang terbabit dalam menjaga sempadan negara menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik serta berkesan.

Beliau memberi contoh kutipan hasil Kastam sentiasa melebihi sasaran ditetapkan kerajaan sejak beberapa tahun lalu.

“Ini bermakna Kastam telah melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya dengan cemerlang. Sekiranya tugas berkenaan diberikan kepada agensi baharu yang belum diketahui keberkesanannya, ia seperti memperjudikan kutipan hasil negara untuk tahun mendatang.”

Beliau berkata, sistem kawalan pintu masuk pelbagai peringkat agensi yang dilaksanakan sekarang lebih baik daripada kawalan satu agensi saja.

“Sebagai contoh, jika barangan yang diimport adalah ubat-ubatan, Kastam tidak boleh melepaskan dagangan berkenaan sebelum diberi kelulusan oleh pihak farmasi.

“Begitu juga barang dagangan yang memerlukan kelulusan agensi-agensi lain, seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Sirim dan sebagainya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.