
Presiden MyBHA, Sri Ganesh Michiel, berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) perlu mewujudkan sistem pengesahan rasmi atau senarai penginapan berdaftar untuk tuntutan elaun bagi memastikan ketelusan dan dana awam benar-benar menyokong sektor hospitaliti berdaftar.
“MyBHA menyokong penuh cadangan elaun penginapan hotel untuk penjawat awam, namun elaun ini mesti disalurkan hanya kepada penginapan sah yang berdaftar serta membayar cukai.
“Elaun tidak seharusnya disalurkan kepada pengusaha tidak berlesen atau haram kerana ia menjejaskan persaingan adil, menggalakkan ekonomi gelap serta mendedahkan tetamu kepada risiko keselamatan akibat tiada piawaian dan pematuhan peraturan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, langkah itu dapat melindungi kebajikan penjawat awam dan membendung kewujudan penginapan haram serta tidak selamat.
“Kami percaya usaha ini akan meningkatkan tahap integriti, menyokong ekosistem ekonomi negara serta mencerminkan komitmen Malaysia dalam menegakkan profesionalisme serta kelestarian sektor hospitaliti dan pelancongan.”
Semalam, Kongres Kesatuan Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menaikkan elaun hotel untuk penjawat awam, mengambil kira kadar semasa tidak lagi relevan ekoran kos penginapan tinggi.
Presidennya, Adnan Mat dilaporkan berkata, had tuntutan sedia ada berpandukan pekeliling perbendaharaan kira-kira 15 tahun lalu.
Katanya, kebiasaan mesyuarat atau program berkaitan banyak diadakan di Putrajaya yang mana kos penginapan agak tinggi, tambahan pula penjawat awam dari negeri lain seperti Terengganu dan Kelantan.