
Presiden Adnan Mat berkata tragedi itu tidak boleh dipandang ringan kerana sekolah sepatutnya menjadi tempat paling selamat buat murid.
“Tiada kompromi boleh diberikan apabila ia melibatkan nyawa.
“Kami mendesak KPM memperkukuh prosedur keselamatan, mengutamakan aspek penyelenggaraan, serta memastikan persekitaran sekolah bebas daripada risiko berbahaya,” menurut kenyataan.
Semalam, seorang murid lelaki berusia sembilan tahun dilaporkan maut selepas terjatuh terjatuh ke dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah rendah di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Polis berkata kejadian 9.20 pagi itu berlaku ekoran saluran kumbahan itu tidak bertutup menyebabkan mangsa terjatuh ke dalamnya ketika berlangsung program kejohanan sukan olahraga sekolah.
Justeru, Adnan mengesyorkan KPM melibatkan pakar keselamatan pekerjaan daripada agensi seperti Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Malaysian Society for Occupational Safety and Health (MSOSH) bagi memastikan piawaian keselamatan dipatuhi.
Menurutnya, langkah menyeluruh dan sistematik perlu dilaksanakan segera, termasuk mengenal pasti titik risiko serta melaksanakan tindakan pencegahan agar kejadian seumpama tidak berulang.
“Keselamatan murid adalah amanah negara. Jangan tunggu tragedi seterusnya untuk bertindak,” katanya.