Naik elaun hotel untuk penjawat awam, Cuepacs gesa kerajaan

Naik elaun hotel untuk penjawat awam, Cuepacs gesa kerajaan

Presidennya, Adnan Mat, berkata had tuntutan sedia ada berpandukan pekeliling perbendaharaan yang dikeluarkan kira-kira 15 tahun lalu.

adnan
Presiden Cuepacs Adnan Mat juga menggesa penambahbaikan gred gaji pembantu tadbir dengan mencadangkan gred N5 dijadikan gaji permulaan baharu pada kadar RM1,650. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menaikkan elaun hotel untuk penjawat awam kerana kadar semasa tidak lagi relevan ekoran kos penginapan yang tinggi.

Presidennya, Adnan Mat, berkata had tuntutan sedia ada berpandukan pekeliling perbendaharaan yang dikeluarkan kira-kira 15 tahun lalu.

“Biasanya, mesyuarat atau program berkaitan banyak diadakan di Putrajaya yang mana kos penginapan agak tinggi, tambahan pula bagi anggota perkhidmatan awam yang berada jauh seperti Terengganu dan Kelantan,” katanya yang dipetik Berita Harian sebagai berkata.

Katanya, selain elaun penginapan hotel, kerajaan juga perlu segera mengkaji elaun lain demi kebajikan pekerja.

Selain itu, Adnan turut meminta penambahbaikan gred gaji pembantu tadbir dengan mencadangkan supaya gred N1 hingga N4 dimansuhkan, dan gred N5 dijadikan gaji permulaan baharu pada kadar RM1,650, seperti yang dinyatakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Jika tidak dapat dilaksanakan, Cuepacs mencadangkan bayaran tunai sekali gus diberikan kepada mereka yang berada dalam gred rendah. Alternatif lain ialah pembantu tadbir kekal di gred N1 tetapi dinaikkan ke gred N5 selepas 15 tahun berkhidmat, kemudian terus ke gred N6, N7 dan N8.

Katanya, pembantu tadbir adalah tunjang untuk kementerian, jabatan mahupun agensi yang mana setiap permasalahan mereka juga perlu diambil perhatian.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.