
Peguam, Akberdin Abdul Kader, berkata rujukan fakta dalam kes projek tenaga solar Rosmah Mansor dilihat “belum matang”. Rosmah didapati bersalah kerana rasuah oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, pada 1 Sept.
Dalam membebaskan Zahid, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Yazid Mustafa, berkata beliau tidak dapat membayangkan bagaimana wang SGD600,000 didakwa diterima Zahid diisi dalam sampul sebagai keterangan.
Yazid kemudian membandingkan kes itu dengan Rosmah Mansor, di mana menyatakan bahawa penghantaran wang tunai RM5 juta pada Disember 2016 dibahagikan kepada dua beg RM2.5 juta setiap satu, manakala penghantaran kedua, RM1.5 juta dibuat dalam dua beg.
Akberdin berkata, fakta berhubung penyerahan wang dan keterangan mengikut keadaan lain seperti dikemukakan sedang dicabar dalam rayuan Rosmah yang belum selesai di Mahkamah Rayuan dan tidak sepatutnya digunakan hakim dalam kes Zahid.
“Adalah belum matang bagi hakim membuat ulasan ketika proses rayuan sedang berjalan. Tanggapan yang beliau berikan (penemuan fakta bahawa terdapat) dua beg yang setiap satu dibahagikan dengan wang seperti dapatan akhir, sedangkan ia belum muktamad.
“Bagi hakim membuat kesimpulan (penemuan terbabit) sebagai tepat adalah tidak betul kerana ia belum (dinilai) Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan,” katanya.
Zahid, 69, berdepan 33 pertuduhan menerima rasuah berjumlah SGD13.56 juta (RM42 juta) dari Ultra Kirana Sdn Bhd, antara 2014 dan 2018, ketika menjadi menteri dalam negeri. Beliau juga didakwa dengan tujuh pertuduhan mendapatkan bagi dirinya sejumlah SGD1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss francs dan USD15,000 daripada syarikat sama berkaitan tugas rasminya.
Semalam, pendakwaan memfailkan rayuan terhadap pembebasan Zahid.