Anwar cadang PM kemuka usul khas kejatuhan ringgit, kenaikan harga barang

Anwar cadang PM kemuka usul khas kejatuhan ringgit, kenaikan harga barang

Ketua pembangkang berkata, perkara itu amat mengesankan rakyat serta negara dan perlu ditangani dengan kadar segera.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim, berkata negara sedang berada dalam krisis harga barang meningkat susulan kejatuhan nilai ringgit
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim mencadangkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob supaya membawa usul khas berhubung krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah ringgit, dalam sidang Parlimen, yang bermula 3 Okt.

Katanya, selain itu, perdana menteri boleh juga memberi laluan kepadanya sebagai ketua pembangkang untuk mengemukakan usul terbabit untuk dibahaskan.

“Saya telah mengutuskan surat kepada perdana menteri selaku ketua Majlis Dewan Rakyat bagi mengambil tindakan segera untuk menangani krisis kenaikan harga barang dan kejatuhan parah matawang negara yang menjejaskan kehidupan rakyat.

“Permasalahan ini ternyata amat mengesankan rakyat serta negara dan ia perlu ditangani dengan kadar segera,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, cadangan usul itu perlu diberi keutamaan untuk dibahaskan dalam minggu pertama sidang Parlimen.

Semalam, ringgit meneruskan aliran penurunan kepada RM4.60 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada akhir urus niaga Isnin, ketika penyusutan selera risiko pelabur mengasak unit tempatan itu mencecah paras terendah dalam tempoh 24 tahun.

Minggu lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz, menolak dakwaan Malaysia sedang berada dalam krisis ekonomi, namun menyatakan prospek ekonomi pada 2023 dijangka lebih mencabar kepada semua negara.

“Kita perlu bersiap sedia pada 2023, ia akan menjadi tahun mencabar. Apa yang berlaku di Amerika Syarikat, China dan Eropah akan memberi kesan kepada ekonomi global, termasuk Malaysia.

“Untuk berkata kita tidak akan terkesan dengan kelembapan ekonomi global bukan realiti, kita akan terkesan, semua negara di dunia juga begitu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.