
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Mohd Haniff Mohd Yunus, berkata pihaknya menerusi Maritim Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima maklumat dari Jabatan Laut Wilayah Selatan mengenai kejadian itu pada 4.30 pagi tadi.
Beliau berkata, kejadian pada 4.18 pagi itu berlaku di kedudukan 11.7 batu nautika barat daya Tanjung Laboh, dekat sini.
“Sebaik maklumat diterima, bot Benteng 05 telah digerakkan ke lokasi bagi melaksanakan pemantauan dan misi bantuan. Kapal MV GSL Grania berdaftar di Liberia dan dalam perjalanan ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) manakala kapal MV Zephyr I yang berdaftar di Panama, dipercayai dalam perjalanan ke China.
“Maklumat awal kemalangan yang diterima daripada nakhoda kapal MV GSL Grania menyatakan bahawa pelanggaran ini adalah disebabkan oleh kapal MV Zephyr I yang hilang kawalan lalu merempuh di bahagian sisi kanan kapal berkenaan sehingga mengakibatkan kerosakan,” kata beliau dalam kenyataan malam ini.
Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan dialami oleh kesemua 45 kru kedua-dua kapal berkenaan selain tiada tumpahan minyak dikesan akibat pelanggaran.