
Ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak, Barjoyai Bardai berkata, kerajaan boleh mula berbuat demikian dengan beralih daripada penyelesaian jangka pendek seperti pemberian tunai.
Sementara itu, rakan sejawatannya di Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Geoffrey Williams mencadangkan subsidi untuk beberapa produk dihentikan di bawah suatu belanjawan bersifat reformis.
Barjoyai berkata, penyelesaian jangka panjang seperti penubuhan dana endowmen lebih berdaya maju, oleh itu kerajaan disaran mewujudkan dana sedemikian di bawah Belanjawan 2023 untuk kepentingan rakyat.
“Peruntukan yang besar untuk dana sedemikian akan menawarkan perlindungan sosial jangka panjang untuk semua rakyat Malaysia. Ini benar-benar akan menjadi ledakan besar,” katanya kepada FMT Business.
Barjoyai berkata, kerajaan boleh menubuhkan yayasan dengan suntikan modal RM500 juta. Dana itu kemudiannya boleh disalurkan untuk pelaburan.
“Tidak seperti perlindungan yang disediakan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), pulangan daripada pelaburan dana endowmen boleh disalurkan ke arah perlindungan sosial isi rumah, termasuk kehilangan pendapatan, serta pendidikan, penjagaan kesihatan dan bantuan bencana alam,” tambahnya.
Williams berkata; kerajaan harus mengambil kesempatan atas pemansuhan langkah khas yang dilaksanakan semasa pandemik Covid-19 dengan membentangkan belanjawan lebih kecil, bukannya senarai panjang projek yang disasarkan terhadap kumpulan pengundi penting.
“Penjimatan harus disalurkan semula kepada rakyat untuk membolehkan mereka membelanjakan lebih banyak wang mereka dengan cara mereka mahu, bukan dibelanjakan kerajaan,” katanya.
Williams berkata, cadangan menarik termasuk menamatkan subsidi ke atas produk, jenama dan syarikat tertentu, yang membawa kepada kos urus niaga tinggi serta rasuah.
Sebaliknya, kerajaan harus memberi tumpuan kepada pembaharuan skim Bantuan Keluarga Malaysia untuk menggabungkan program pendapatan asas sejagat melibatkan bayaran bulanan tetap untuk golongan berpendapatan rendah melalui mekanisme pindahan tunai, katanya.
Williams juga menggesa kerajaan melakukan pembaharuan penuh dalam pembiayaan pendidikan tinggi. Menurutnya, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya mempunyai simpanan dana dua tahun pada masa ini.
“Kerajaan juga perlu membantu rakyat mengumpul pendapatan persaraan mereka, contohnya, dengan meningkatkan pengecualian cukai untuk caruman sukarela Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP),” katanya.
Kerajaan membenarkan empat pengeluaran simpanan KWSP semasa pandemik Covid-19, yang menyaksikan pencarum menerima RM145 bilion.
Williams juga berkata, sistem cukai dan duti secara keseluruhannya memerlukan pembaharuan, dan beliau menggesa kerajaan menamatkan sekali gus perbahasan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) atau cukai jualan dan perkhidmatan (SST) perlu diteruskan.
Belanjawan 2023 akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, tiga minggu lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan pada 28 Okt.