
Dua isu itu harapan Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George, yang menggesa kerajaan menjadikan isu kesihatan dan sekuriti makanan sorotan dalam belanjawan yang bakal dibentangkan awal bulan depan.
“Banyak hospital besar kita sudah usang…peralatan sudah lama, kakitangan atau tenaga pakar tidak cukup,” katanya kepada FMT.
“Harga siling (bahan mentah makanan) ditetapkan kerajaan ketika ini tidak lebih sebagai memenuhi agenda politik. Kerajaan sepatutnya memperkenalkan harga munasabah yang merangkumi suara pemain industri makanan.”
George menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan Kementerian Kesihatan bagi mengukuhkan hospital sedia ada, termasuk tambah baik mutu perkhidmatan, naik taraf kemudahan, penggantian peralatan, dan penambahan kakitangan.
Berbanding membina hospital baharu, kerajaan diseru memberi perhatian segera kepada keadaan hospital sedia ada, yang disifatkan pada tahap “kritikal”.
Antara hospital yang perlu diberi perhatian, katanya, Hospital Selayang; Hospital Kuala Lumpur; Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru; Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu; dan Hospital Pulau Pinang, yang sebahagiannya beroperasi sebelum Merdeka.
“Hospital dan klinik kerajaan sedia ada sudah cukup, masalah yang kita hadapi ketika ini mutu perkhidmatan lemah dan lambat kerana kekurangan kakitangan serta peralatan uzur,” katanya.
Menyentuh isu sekuriti makanan, George berkata masalah jaminan makanan harus ditangani di peringkat bahan mentah lagi, termasuk kumpulan petani, nelayan, dan penternak yang ditekan peningkatan kos.
Beliau berkata kerajaan harus menetapkan harga siling yang “tidak membunuh” pembekal makanan, khususnya pengeluar protein dan karbohidrat.
“Bila ada isu, kerajaan keluarkan kenyataan nak buat macam-macam tetapi setakat hari ini tak berjaya pun. Kita tak mahu penternak, petani atau nelayan ini menjadi kelompok kais pagi makan pagi, kais petang makan petang,” katanya.
Beliau menambah nilai ringgit susut dan kos perniagaan meningkat menyebabkan kelompok peniaga “sakit”.
Dalam pada itu, CASSA berharap kerajaan memperuntukkan dana yang besar bagi menangani masalah banjir di seluruh negara, dengan serius dan untuk jangka panjang.
“Banjir yang kita hadapi ketika ini bukan banjir seperti dulu…bandar besar seperti Kuala Lumpur juga dilanda banjir kilat yang tak pernah kita alami berdekad lamanya,” katanya.