Sindiket penipuan kerja: Jawatankuasa khas diketuai Kementerian Luar ditubuh

Sindiket penipuan kerja: Jawatankuasa khas diketuai Kementerian Luar ditubuh

Setakat hari ini, sejumlah 301 kes diterima berhubung sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad, berkata keputusan mewujudkan jawatankuasa khas itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.
PUTRAJAYA:
Satu jawatankuasa khas pelbagai agensi diketuai Kementerian Luar akan diwujudkan bagi memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara dibawa pulang dengan selamat.

Mengumumkan perkara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad, berkata keputusan mewujudkan jawatankuasa khas itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, hari ini.

Katanya, Mesyuarat Jemaah Menteri telah membincangkan isu rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara ekoran sindiket penipuan tawaran pekerjaan.

“Isu ini telah dibincangkan secara serius dan kerajaan amat prihatin dengan nasib keluarga dan rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa negara.

“Penubuhan Jawatankuasa Khas ini membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia dibawa pulang dengan selamat,” lapor Bernama.

Semalam, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan memastikan rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di beberapa negara di bawa pulang dengan selamat dan usaha sedang dilaksanakan melalui saluran yang ada bagi tujuan itu.

Ismail menegaskan kerajaan amat prihatin dan mengambil serius mengenai nasib rakyat Malaysia yang terkandas di Laos, Myanmar, Thailand dan Kemboja kerana menjadi mangsa sindiket penipuan kerja itu.

Pada Isnin, sekumpulan NGO menghantar memorandum kepada perdana menteri bagi memohon bantuan serta campur tangan kerajaan dalam menyelesaikan isu sindiket penipuan kerja di luar negara melibatkan warganegara Malaysia.

Dalam pada itu, Kementerian Luar dalam kenyataan, berkata Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh telah berjaya menyelamatkan dan membawa pulang 15 lagi mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja, semalam.

Sehingga hari ini, laporan kes diterima pihak kementerian di Kemboja, Laos, Myanmar dan Thailand berjumlah 301 kes. Daripada jumlah tersebut, seramai 168 orang mangsa telah berjaya diselamatkan dan pulang ke tanah air.

Selain itu, 34 orang mangsa sedang ditahan di depoh tahanan imigresen, manakala baki 99 orang lagi masih dikesan oleh pihak berkuasa negara-negara berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.