Polis perlu bajet lebih besar tingkat kecekapan, kata veteran

Polis perlu bajet lebih besar tingkat kecekapan, kata veteran

Bekas ketua polis negara dan bekas timbalan pengarah JSJK Bukit Aman berkata ia perlu bagi menangani jenayah siber yang semakin berleluasa.

Pasukan polis memerlukan rangsangan kewangan untuk meningkatkan kecekapannya, kata bekas timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Ramli Mohd Nor.
PETALING JAYA:
Dua pesara polis kanan menggesa agar peruntukan bajet untuk pasukan itu ditingkatkan dengan lebih besar tahun depan.

Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Mohd Nor yang juga bekas timbalan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman berkata, pasukan itu memerlukan rangsangan dalam sumber kewangan untuk meningkatkan kecekapannya untuk berdepan peningkatan jenayah siber.

Tambahnya lagi, ia juga bagi meningkatkan kebajikan anggota polis.

Bekas ketua polis negara, Musa Hassan bersetuju, sambil berkata jenayah siber semakin berleluasa dan juga terdapat keperluan untuk menambah baik kemudahan penginapan untuk anggota polis.

Ramli yang berkhidmat selama 34 tahun berkata, pasukan itu perlu dilengkapi dengan teknik kepolisan terkini untuk meningkatkan daya tindak balas.

Katanya, dana diperlukan bagi membolehkan polis memperkukuhkan hubungan dengan rakan sejawat asing dan bertukar maklumat dengan mereka demi kepentingan memerangi jenayah rentas negara.

“Bagaimana kita mahu tangkap Jho Low jika tidak ada dana untuk menggerakkan anggota kita menyiasat?” katanya, yang merujuk Low Taek Jho, ahli perniagaan dalam buruan yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Beliau juga berkata, terdapat keperluan untuk menaik taraf dan mengembangkan logistik pasukan itu, manakala kereta peronda berusia 10 tahun ke atas perlu diganti serta lebih banyak helikopter perlu dibekalkan bagi meningkatkan misi pengawasan dan menyelamat.

Ramli turut menyebut mengenai kurangnya perhatian terhadap kebajikan anggota polis.

“Dengan gaji mereka, yang sangat berbeza dengan rakan sejawat Singapura, mereka tidak mampu membayar sewa di bandar itu,” katanya.

Musa berkata, ramai anggota polis terpaksa tinggal jauh dari balai kerana kuarters yang disediakan tidak mencukupi.

“Kuarters itu sendiri kurang penyelenggaraan kerana tiada bajet untuk mereka.

“Kadang-kadang mereka perlu menunggu sehingga terdapat kerosakan besar untuk pembaikan dilakukan. Sungguh memalukan apabila entiti lain atau orang ramai terpaksa membantu,” katanya sambil menggesa pemberian gaji dan elaun yang mencerminkan kos sara hidup dan lebih banyak peluang kenaikan pangkat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.