
Mahkamah bagaimanapun membenarkan penangguhan pelaksanaan prosiding rampasan terhadap Ooi Cheng Sim, 53, sehingga rayuannya selesai didengar di Mahkamah Rayuan.
Ooi pada asalnya didakwa bersama tujuh individu lain atas tuduhan mengedar dadah.
Sebelum itu, Ooi dituduh mengedar 4.98kg methamphetamine di gudang syarikatnya di No 2521 Tingkat Perusahaan 6, Prai Industrial Estate, Perai, pada 16 Jan 2020.
Tujuh lain didakwa bersama adalah seorang rakyat tempatan dan enam warga Myanmar berusia 30-an hingga 50-an.
Tuduhan terhadap mereka bagaimanapun kemudian dikurangkan kepada memiliki dadah, pada 3 Ogos 2020, selepas ahli kimia menemui hanya 2.66g methamphetamine dalam tong sampah di gudang syarikat Ooi.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Ooi mendakwa gudang itu disewa kepada seorang rakyat China, dan dia tidak maklum mengenai apa yang berlaku di situ.
Ooi juga mendakwa ditahan secara salah, manakala prosiding rampasan dimulakan terhadapnya pada 2 Okt 2020. Dia kini masih direman mengikut Seksyen 4(1) Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakkan Harta) 1988 (FOPA) yang tidak membenarkan sebarang jaminan.
Ooi turut memohon deklarasi supaya FOPA diisytiharkan menyalahi Perlembagaan.
Dalam prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Radzi Abdul Hamid berkata FOPA bersifat sebagai pencegahan dan merupakan “undang-undang baik”.
Katanya, mahkamah tidak boleh mengatasi kuasanya dan melangkaui “tembok” bidang kuasa Parlimen dengan membuat keputusan terhadap FOPA.
Katanya, dakwaan pemohon bahawa wujud mala fide dalam rampasan hartanya perlu dibuktikan dalam perbicaraan, seterusnya beliau mengarahkan prosiding diteruskan di mahkamah rendah.
Peguam bela Shafee Abdullah kemudian memohon penangguhan prosiding rampasan, sementara rayuan didengar di Mahkamah Rayuan, yang dibenarkan Radzi.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Khairul Anuar Abdul Halim dan Yazid Mustaqim Roslan, manakala Ooi turut diwakili Wee Yeong Kang.