
“Di India, siri ini ditayangkan di bawah saluran Disney. Dia (Upin dan Ipin) (dialih bahasa) cakap (bahasa) Hindustan, Tamil, Malayalam dan beberapa lagi bahasa tempatan (di negara itu),” kata beliau kepada FMT.
“Baru dua bulan lepas, ada rombongan Pegawai Disney dari India datang (mereka berhasrat) nak beli semua produk animasi Les’ Copaque yang lain. Jadi, kita tak hairan jika bila ada taman tema nanti, penuh dengan pengunjung dari India,” tambah beliau yang turut menyumbang suara untuk watak Tok Dalang dalam siri animasi itu.
Pengarah urusan Les’ Copaque itu merujuk projek terbaharunya – pembinaan Taman Tema Upin dan Ipin – di Cyberjaya dengan kos RM400 juta yang akan bermula Januari depan dan dijadualkan siap pada 2025.

Selain India, Upin dan Ipin turut mendapat sambutan hangat di Indonesia. Siri animasi itu ditayangkan lima jam sehari menerusi saluran MNCTV dan meraih keuntungan besar untuk stesen itu serta Les’ Copaque.
“Kita tak jual Upin Ipin (kepada MNCTV). Kita hanya berkongsi pendapatan daripada iklan. Mereka anggap kita rakan kongsi terbesar, sebab kita menyumbang 10% (daripada keuntungan mereka).
“Episod baharu Upin Ipin tak siar di Malaysia sebab (saluran) TV di Malaysia tak sanggup beli, sebab harganya mahal. Siap (episod baharu) terus ke Indonesia. Lepas setahun, baru kita tayangkan di sini.
“Saya tak bagi tukar bahasa (Indonesia), siaran Upin dan Ipin di sana (kena guna) Bahasa Melayu. Sampai sekarang, banyak anak Indonesia pandai cakap Bahasa Melayu,” ujarnya dengan bangga.

Mengenai Taman Tema Upin dan Ipin yang bakal dibina, Burhanuddin berkata, ia akan mempunyai reka bentuk unik serta pelbagai tunggangan (ride) interaktif berdasarkan ilham beliau dan pasukannya yang melawat hampir semua taman tema terkenal di dunia, seperti Disneyland di Amerika Syarikat dan Harry Potter Studios di London.
Antara tarikan bakal ditawarkan ialah Rumah Opah, taman interaktif Upin dan Ipin, “fun park”, Terowong Mistik, Rumah Hijau daripada siri “Pada Zaman Dahulu”, Taman Maze, pawagam Interaktif 4D dan medan selera bertema Warong Muthu.

Beliau berkata, kejayaan Upin dan Ipin menembusi pasaran seperti India dan Indonesia akan menyumbang kepada kelangsungan serta daya saing Taman Tema Upin dan Ipin, apabila dibuka nanti.
“Kita boleh tarik rakyat Indonesia, Singapura, Brunei, Filipina, dan kemungkinan dari India ke Taman Tema Upin dan Ipin. Setiap kali mereka datang, mereka akan menyumbang tukaran mata wang kepada negara. Sektor pelancongan boleh hidup (kembali).”
Upin dan Ipin kini mempunyai 16.1 juta langganan di YouTube dan menjadi saluran pertama di Malaysia meraih “Diamond Play Button” dengan jumlah tontonan sebanyak lapan bilion setakat 2020.
Laman Facebook Upin dan Ipin, Les’ Copaque juga berjaya meraih 15 juta “likes”.