MAPS bukan lagi milik kerajaan negeri, kata MB

MAPS bukan lagi milik kerajaan negeri, kata MB

Saarani Mohamad berkata, taman tema animasi yang ditutup pada 2020 itu kini berada bawah syarikat pembubar.

maps
Taman tema animasi MAPS yang dibina pada 2015 di kawasan seluas 21 hektar mengalami kerugian sehingga terpaksa ditutup pada 2020.  (Gambar Bernama)
IPOH:
Kerajaan negeri tidak berhak ke atas bangunan Movie Animation Park Studio (MAPS) di Bandar Meru Raya, yang kini berada bawah syarikat pembubar (liquidator), kata Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

“Kita bukan membisu, MAPS bukan lagi milik kerajaan negeri, saya tak boleh sentuh harta orang,” katanya kepada pemberita pada Karnival Mesra Anak Muda 2024 hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media mengenai Ketua Pembangkang Perak, Adun Semanggol Razman Zakaria, yang menyatakan bahawa kerajaan Perak sehingga kini masih membisu mengenai perobohan bangunan MAPS itu.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan bangunan tersebut kini dalam proses perobohan.

Sebelum ini dilaporkan, taman tema animasi yang dibina pada 2015 di kawasan seluas 21 hektar itu, bernilai RM520 juta, mengalami kerugian sehingga terpaksa ditutup pada 2020.

Saarani dilaporkan berkata, projek itu dibiayai PCB Development Sdn Bhd (PCBD), anak syarikat PCB yang tersenarai di Bursa Malaysia.

Katanya, walaupun Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) mempunyai pegangan 56% dalam PCB, kerajaan negeri tidak mengeluarkan sebarang peruntukan untuk melabur dan tidak terikat dengan jaminan dengan mana-mana institusi kewangan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.