Mahkamah sahkan pemecatan pengurus LegoLand enggan suntik vaksin Covid-19

Mahkamah sahkan pemecatan pengurus LegoLand enggan suntik vaksin Covid-19

Mahkamah Perusahaan berkata pemecatan itu mengikut undang-undang kerana kerajaan menetapkan syarat suntikan vaksin untuk pembukaan semula selepas perintah kawalan pergerakan.

mahkamah perusahaan malaysia
Mahkamah Perusahaan memutuskan Shaffiq Sani dipecat oleh LL Malaysia Taman Tema Sdn Bhd adalah kerana syarikat itu perlu melindungi pekerja dan pengunjung taman tema. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
LL Malaysia Taman Tema Sdn Bhd, pengendali taman tema LegoLand di Johor, berhak menamatkan perkhidmatan pengurus peruncitannya kerana enggan menerima suntikan vaksin Covid-19, antara syarat pembukaan semula taman tema itu selepas perintah kawalan pergerakan.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan Johor, Azwarnida Affandi, berkata walaupun borang Kementerian Kesihatan (KKM) menyatakan vaksinasi adalah secara sukarela, keperluan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk semua kakitangan menerima vaksin adalah lebih utama.

Beliau berkata, syarikat mengambil langkah munasabah untuk memberi penerangan kepada penuntut Shaffiq Sani, pengurus runcit ketika itu, mengenai kepentingan vaksinasi, namun dia tetap enggan mematuhi arahan majikan.

Azwarnida memutuskan bahawa keengganan pihak penuntut adalah kes yang jelas mengenai ingkar arahan, memandangkan ketidakpatuhannya tidak berasas kerana tiada alasan perubatan diberikan.

“Selepas penutupan yang begitu lama, kerajaan mengeluarkan arahan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) bahawa pekerja perlu divaksin sebelum kelulusan (pembukaan semula) diberikan.

“Syarikat kemudiannya mengeluarkan memorandum kepada semua pekerja supaya mematuhi dan divaksin sebelum atau pada 31 Dis 2021,” katanya dalam award bertarikh 11 Dis.

Shaffiq, berkhidmat dengan syarikat itu sejak Julai 2012, ditamatkan perkhidmatan pada Januari 2022.

Azwarnida berkata sebelum perkhidmatan ditamatkan, syarikat mengatur pertemuan secara dalam talian antara Shaffiq dan pegawai syarikat berkenaan arahan vaksinasi, serta melantik pegawai perubatan untuk menjelaskan proses vaksinasi kepada lelaki itu.

Bagaimanapun, katanya, Shaffiq terus enggan divaksin tanpa memberikan sebarang alasan perubatan untuk mewajarkan tindakannya.

Azwarnida berkata, membenarkan Shaffiq terus bekerja akan menimbulkan kesukaran operasi, kerana ketidakpatuhannya boleh menjejaskan kelulusan syarikat untuk taman tema itu dibuka semula.

“Mahkamah berpendapat bahawa arahan yang dikeluarkan oleh syarikat adalah sah dan munasabah, memandangkan tanggungjawabnya memastikan pekerja dan pengunjung dilindungi daripada dijangkiti virus Covid-19,” menurut award itu.

Beliau menjelaskan bahawa pemansuhan mandat vaksinasi oleh MKN pada 1 Jan 2022 tidak relevan kerana penamatan perkhidmatan Shaffiq berlaku sebelum tarikh tersebut.

Shaffiq didapati melanggar tanggungjawabnya terhadap syarikat dengan gagal menjaga kepentingan perniagaan, melakukan salah laku yang menjejaskan kepentingan syarikat, dan tidak melaksanakan tugasnya dengan setia.

“Syarikat berjaya memenuhi beban undang-undang dan bukti untuk membuktikan secara imbangan kebarangkalian bahawa penamatan perkhidmatan pihak penuntut adalah bersebab dan sah,” menurut award itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.