Kumpulan perniagaan beza pendapat cadangan teruskan projek HSR KL-Singapura

Kumpulan perniagaan beza pendapat cadangan teruskan projek HSR KL-Singapura

Seorang pakar ekonomi berpendapat projek yang akan menelan berbilion ringgit itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, baru-baru ini berkata republik itu terbuka kepada cadangan baharu untuk menghidupkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi itu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Prospek menghidupkan semula projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, yang dibangkitkan oleh seorang pemimpin Singapura, mendapat reaksi berbeza daripada kumpulan perniagaan.

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan persatuan pelancong berkata jaringan itu akan membawa manfaat ekonomi kepada negara.

Bagaimanapun, pakar ekonomi Barjoyai Bardai merasakan projek yang akan menelan berbilion ringgit itu boleh digunakan untuk perkara yang lebih baik.

Semasa lawatan ke Malaysia baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong, memberitahu Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bahawa republik itu terbuka menerima cadangan baharu untuk menghidupkan semula projek itu.

Pengarah Eksekutif MICCI Shaun Cheah berkata Malaysia akan mendapat manfaat ekonomi daripada projek itu kerana ia akan menjana pertukaran barangan, perkhidmatan dan orang ramai yang lebih besar antara negara jiran.

“Singapura ialah hab serantau kepada banyak syarikat multinasional, terutamanya dalam sektor teknologi maklumat,” katanya kepada FMT. “Projek HSR akan memberi insentif kepada syarikat berkenaan untuk memindahkan operasi mereka ke Kuala Lumpur kerana asas kos Malaysia yang lebih rendah.”

Jimmy Leong, yang mempengerusikan Persatuan Pemandu Pelancong Johor, berkata jaringan kereta api itu akan merancakkan sektor pelancongan tempatan berikutan hubungan yang lebih baik bukan saja antara kedua-dua bandar raya itu tetapi juga tempat di antaranya seperti Batu Pahat dan Muar di Johor.

Bagaimanapun, katanya, kajian sewajarnya perlu dijalankan bagi memastikan kos projek itu mampan dan mampu dimiliki oleh semua pihak yang terlibat.

Barjoyai, dari Universiti Tun Abdul Razak, berkata walaupun projek HSR itu akan memberi manfaat untuk jangka panjang, ia adalah suatu kemewahan yang tidak perlu Malaysia laksanakan memandangkan negara mempunyai lebih banyak perkara yang perlu diselesaikan.

Beliau berkata kerajaan perlu memberi keutamaan kepada usaha mengurangkan kadar kemiskinan dengan melabur dalam kemahiran semula, latihan semula dan penempatan semula pekerja serta dengan menggalakkan pembangunan keusahawanan dan teknologi.

Katanya, jika projek itu ingin dihidupkan semula, ia harus diterajui oleh sektor korporat dan bukannya kerajaan untuk memastikan komersialnya berdaya maju.

Malaysia dan Singapura memeterai perjanjian untuk memulakan projek HSR sejauh 350km, bertujuan memendekkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan Singapura kepada kira-kira 90 minit, pada Disember 2016.

Ia telah dihentikan selepas beberapa kali penangguhan atas permintaan Malaysia dan akhirnya perjanjian itu luput pada Disember 2020.

Malaysia membayar lebih SGD$102 juta (RM328 juta) sebagai pampasan kepada Singapura untuk projek yang ditamatkan itu.

Projek yang pada asalnya dijadualkan siap pada 2026 itu dianggarkan menelan belanja RM68 bilion ketika itu, tetapi kini boleh menelan kos sebanyak RM110 bilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.