
Pakar ekonomi berkata, langkah itu boleh membantu mengurangkan hutang negara, meningkatkan hasil cukai, dan mewujudkan lebih banyak ruang fiskal untuk perbelanjaan bagi bidang penting seperti penjagaan kesihatan, pendidikan, dan bantuan bersasar untuk isi rumah berpendapatan rendah.
Mereka juga mendakwa, ia pilihan lebih selamat dan lebih rendah kosnya berbanding mengembalikan cukai barang dan perkhidmatan (GST), yang akan mengambil masa dan usaha untuk dilaksanakan.
Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, peluasan SST bukan bertujuan menjimatkan kos, sebaliknya untuk meningkatkan hasil bagi membantu mengurangkan defisit belanjawan negara.

“Kerajaan mahu kutip lebih banyak cukai supaya dapat capai objektif mengurangkan defisit dalam belanjawan,” katanya.
Barjoyai berkata, kerajaan menjangka kutipan SST mencecah RM52 bilion tahun ini, lonjakan besar daripada RM29 bilion yang dikutip pada tahun pertama, malah lebih tinggi daripada kemuncak RM42 bilion kutipan GST.
“Jika (kerajaan) dapat kumpul RM52 bilion, maka mereka boleh buktikan SST lebih bagus daripada GST.
“Saya percaya SST boleh dibangunkan menjadi sistem cukai yang lebih baik daripada GST,” katanya.
Barjoyai berkata, SST secara umumnya lebih diterima oleh rakyat kerana tidak menjejaskan pengguna secara langsung, dengan sasaran utamanya ialah barangan import dan sektor pembuatan.
“Jadi, rakyat tidak rasa dikenakan cukai – sekurang-kurangnya dari segi psikologi,” katanya.
Yeah Kim Leng dari Sunway University menegaskan, nisbah cukai kepada KDNK negara pada masa ini berada pada paras lebih sedikit daripada 12%, antara tahap terendah dalam beberapa dekad.

Beliau berkata, negara tidak lagi boleh bergantung pada hasil petroleum atau cukai pendapatan yang semakin mengecil.
“Kita perlu cari sumber pendapatan yang mampan dan stabil. (Langkah) memperluas SST ialah langkah ke arah yang betul untuk meningkatkan tahap pendapatan secara beransur-ansur agar kita tidak menanggung defisit lebih tinggi,” katanya.
Yeah berkata, hasil tambahan diperlukan untuk menampung peningkatan kos yang berkaitan dengan populasi menua, simpanan persaraan yang kecildan keperluan menambah baik perkhidmatan penting, terutamanya penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Langkah ini menuntut pengorbanan dan kesukaran sementara demi pulangan jangka panjang. Inisiatif peluasan SST ini bukanlah terlalu membebankan. Ia hanya sasarkan barangan mewah serta barangan dan perkhidmatan bukan penting,” jelasnya.
Ketua Pakar Ekonomi Bank Muamalat, Afzanizam Abdul Rashid, berkata peluasan SST sesuai dengan matlamat reformasi fiskal yang lebih luas.

Beliau berkata, kenaikan cukai perkhidmatan daripada 6% kepada 8% pada Mac 2024 berjaya meningkatkan hasil SST sebanyak 30.3% pada suku pertama tahun ini.
Katanya, langkah itu beserta rasionalisasi subsidi diesel membolehkan kerajaan mengurangkan defisit fiskalnya daripada RM26.4 bilion (5.7% KDNK) pada suku pertama 2024 kepada RM21.9 bilion (4.5%) dalam tempoh sama tahun ini.
“Ini membolehkan kerajaan memperuntukkan lebih banyak bagi Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, berjumlah RM13 bilion pada 2025, daripada RM10 bilion tahun lepas.
“Ini bukti bagaimana langkah-langkah konsolidasi fiskal dapat membantu kerajaan mewujudkan ruang fiskal, agar ia dapat berbelanja untuk menambah baik mata pencarian rakyat dalam jangka masa pendek,” katanya.
Afzanizam berkata, selain pemberian tunai, hasil tambahan itu boleh disalurkan untuk meningkatkan daya pengeluaran melalui pelaburan yang lebih baik dalam pendidikan, kesihatan, prasarana, dan keselamatan.
Peluasan SST yang berkuat kuasa 1 Julai ini akan meluaskan asas percukaian untuk merangkumi lebih banyak barangan import dan perkhidmatan, sambil mengekalkan barangan keperluan asas bebas cukai bagi meminimumkan tekanan inflasi.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Johan Mahmood Merican, berkata SST yang diperluaskan itu dijangka meningkatkan hasil sebanyak RM5 bilion pada 2025 dan RM10 bilion pada 2026.