Inflasi turun mungkin petanda permintaan kurang, kata pakar

Inflasi turun mungkin petanda permintaan kurang, kata pakar

Menurut mereka, walaupun inflasi rendah dapat membantu dari segi kos sara hidup, ia juga mungkin menunjukkan pengguna kurang berbelanja.

shopping hypermarket
Menurut Jabatan Perangkaan, kadar inflasi 1.2% direkodkan di Malaysia bulan lalu mencerminkan trend sama di Korea Selatan, Indonesia dan Filipina.
PETALING JAYA:
Kadar inflasi rendah direkodkan negara bulan lalu mungkin meringankan kos sara hidup, tetapi juga mungkin membayangkan kurang permintaan daripada pengguna yang mampu mengancam pertumbuhan ekonomi, menurut pakar.

Kadar inflasi Malaysia direkodkan 1.2% pada Mei – penurunan daripada 1.4% pada bulan sebelumnya – dipacu kejatuhan harga minyak dunia, menurut Jabatan Perangkaan pada Selasa lalu.

Menurutnya, trend sama turut dilihat di Korea Selatan, Indonesia dan Filipina.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Putra Business School memberitahu FMT, kadar inflasi rendah menunjukkan kestabilan dalam kos sara hidup, apabila harga barangan tidak melonjak dengan cepat.

Ahmed Razman Abdul Latiff.
Ahmed Razman Abdul Latiff.

“Namun kadar inflasi rendah juga mungkin membayangkan permintaan pasaran semakin lemah, bererti pengguna tidak lagi berbelanja seperti sebelum ini.”

Ketua Ekonomi AmBank, Firdaos Rosli, berkata keadaan semasa sama seperti yang dilihat pada lewat 2019, ketika inflasi berkurangan disebabkan pengguna lebih berwaspada.

Ketika perang perdagangan AS-China menjadi isu utama ketika itu, perkara dibimbangi hari ini adalah perubahan dasar AS dan ketegangan global, katanya.

Firdaos Rosli
Firdaos Rosli.

Bagaimanapun, beliau berkata, kadar inflasi rendah tidak sejajar kadar pengangguran rendah negara sebanyak 3.0% pada April.

“Secara mudahnya, walaupun keadaan pasaran buruh ketat, kurang permintaan pengguna kurang membayangkan kurang kecenderungan untuk berbelanja dalam keadaan tidak menentu.”

Pakar ekonomi dari Sunway University, Yeah Kim Leng, berkata kadar inflasi rendah adalah “positif” sekiranya didorong kos pembekalan menurun dari segi bahan mentah lebih murah, teknologi lebih baik atau peningkatan kecekapan.

Yeah Kim Leng
Yeah Kim Leng.

“Tetapi, jika disebabkan permintaan semakin berkurangan, ini membimbangkan kerana ia bererti perbelanjaan berkurangan.”

Menurutnya, kawalan harga terhadap 30% barangan dalam indeks harga pengguna mungkin mengekang inflasi secara buatan.

Yeah berkata, walaupun kadar inflasi dapat membantu dengan kos sara hidup dan memberi ruang kepada kerajaan menyesuaikan dasarnya, kenaikan harga minyak mentah global mungkin melonjakkan kadar inflasi dalam beberapa bulan akan datang.

Beliau menasihatkan sektor swasta menyimpan stok barangan sebelum menjadi lebih mahal apabila harga minyak mentah naik.

Barjoyai Bardai
Barjoyai Bardai.

Barjoyai Bardai dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia berkata, data inflasi bulan lalu tidak mencerminkan perkembangan geopolitik semasa.

Ini kerana katanya, walaupun data nampak positif, konflik Israel-Iran akan mengakibatkan kenaikan harga, khususnya makanan.

“Jun yang akan menunjukkan impak sebenarnya. Jika inflasi kekal rendah selepas bulan depan, kita boleh katakan ekonomi berada di landasan betul.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.