Sultan Perak beri penghormatan terakhir kepada mendiang Samy Vellu

Sultan Perak beri penghormatan terakhir kepada mendiang Samy Vellu

Pemimpin politik dan bekas menteri turut hadir memberi penghormatan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mendiang.

Sultan Nazrin Shah berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang bekas presiden MIC, S Samy Vellu hari ini.
KUALA LUMPUR:
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang S Samy Vellu di bekas kediaman presiden MIC itu di Jalan Ipoh.

Sultan Nazrin tiba 10 pagi tadi dan disambut oleh anak lelaki Samy Vellu, Vell Paari.

Baginda berkenan berangkat pulang 15 minit kemudian selepas memberi penghormatan dan mengucapkan takziah kepada keluarga presiden MIC yang paling lama berkhidmat.

Sementara itu, beratus orang, termasuk ahli politik daripada kedua belah pihak, terus memberi penghormatan terakhir kepada mendiang yang meninggal dunia pada usia 86 tahun.

Antaranya ialah Timbalan Pengerusi DAP Gobind Singh Deo, bekas menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat Shahrizat Abdul Jalil dan Presiden Makkal Sakti RS Thanenthiran.

Gobind menghormati cara Samy Vellu bertemu sesiapa sahaja untuk mencari penyelesaian kepada isu yang melibatkan rakyat.

Mengakui perbezaan pendapat antara bekas Ahli Parlimen Sungai Siput itu dan mendiang bapanya, Karpal Singh, beliau berkata, mereka saling menghormati antara satu sama lain di luar Parlimen.

Katanya, beliau juga pernah bekerjasama dengan Samy Vellu sebelum ini berhubung kes undang-undangnya.

“Mudah untuk mengenalinya kerana dia berterus terang dengan kata-katanya. Setiap kali dia perlukan nasihat, dia akan hubungi sahaja,” katanya.

Shahrizat pula tidak dapat menahan air matanya ketika memberi penghormatan kepada bekas rakan dalam Kabinet, menceritakan bagaimana beliau telah melayannya seperti seorang adik semasa mereka menjadi menteri.

“Beliau mengajar saya bahawa dalam kepimpinan, anda bukan sahaja mesti mempunyai wawasan tetapi juga hati yang baik. Beliau buat apa yang diucapkannya, beliau bukan sahaja melaksanakan dasar, tetapi sering dilihat bertemu rakyat.

“Beliau bukan hanya seorang pemimpin komuniti India, tetapi untuk semua bangsa dan negara ini,” katanya.

Thanenthiran mencadangkan menamakan semula Lebuhraya Utara-Selatan sempena Samy Vellu untuk menghormati bekas menteri kerja raya itu, menyifatkan beliau sebagai “bapa infrastruktur” di Malaysia.

Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput lapan kali dari 1974 hingga 2008, Samy Vellu juga pernah dua kali menjadi menteri kerja raya dua dari 1983 hingga 1989 dan dari 1995 hingga 2008.

Mendiang dijangka dibawa ke krematorium DBKL di Cheras pada 4 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.