Tol percuma sebulan SUKE bermula esok

Tol percuma sebulan SUKE bermula esok

Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof berkata pengguna tidak perlu membayar tol dalam tempoh sebulan di lebuh raya itu yang akan dibuka bermula tengah hari.

Fadillah Yusof berkata kerajaan kekal komited mengurangkan kesesakan di bandar.
KUALA LUMPUR:
Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) akan dibuka kepada pengguna, bermula tengah hari, esok.

Pada pelancarannya malam ini, Menteri Kanan Kerja Raya Fadillah Yusof, berkata pengguna tidak perlu membayar tol selama sebulan ketika melalui lebuhraya berkenaan.

Pelancaran itu membabitkan fasa pertama SUKE, meliputi jajaran 16.6km dari persimpangan Cheras-Kajang sehingga ke persimpangan Bukit Antarabangsa.

Fasa berkenaan juga membabitkan 11 persimpangan dan dua plaza tol, Tol Bukit Teratai dan Tol Ampang.

SUKER dijangka mampu menyuraikan kesesakan aliran trafik di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) sebanyak 30% ketika waktu puncak, termasuk di Jalan Ampang (30%) dan Jalan Loke Yew (12%).

“Kerajaan kekal komited mengurangkan kesesakan dalam bandar,” kata Fadillah.

Laluan SUKE dibina tiga laluan itu berkelebaran 3.5m, dengan tambahan 3m lorong kecemasan, pada kedua-dua arah bagi kegunaan ambulans dan kenderaan kecemasan.

Ia mempunyai 14 persimpangan, menghubungkan Sri Petaling, Sungai Besi, Alam Damai, Cheras-Kajang, Cheras-Hartamas, Bukit Teratai, Tasik Tambahan, Permai, Kosas, Pekan Ampang, Ampang Point, Hulu Kelang, Taman Hillview dan Bukit Antarabangsa.

SUKE juga menghubungkan lapan lebuh raya lain – MRR2, Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban, Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Cheras-Kajang (CKE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) dan Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE).

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas Azlan Abdullah, berkata pembinaan lebuh raya itu yang bermula Ogos 2016 mewujudkan 10,000 kerja dalam pelbagai lapangan, dari pengurusan sehingga ke peringkat kejuruteraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.