
Wong Hon Wai yang melawat lapangan terbang itu petang tadi, berkata proses pelepasan imigresen bagi rakyat Malaysia memuaskan menerusi penggunaan pintu automatik baharu yang dipasang pada Disember lalu.
Pelepasan bagi kategori lain dikendalikan secara manual oleh AKPS. Wong berkata, pegawai Kementerian Dalam Negeri akan melawat lapangan terbang tersebut dalam masa terdekat untuk menguji dan memperakukan pintu automatik baharu bagi warga asing.
“Perkara ini perlu dilakukan secepat mungkin bagi mempercepat pelepasan imigresen untuk warga asing.
“Saya juga menyeru Kementerian Dalam Negeri menambah bilangan kakitangan AKPS memandangkan ia merupakan agensi baharu yang masih mengalami kekurangan kakitangan,” kata Wong, yang bertanggungjawab bagi hal ehwal pelancongan dan ekonomi kreatif.
Awal hari ini, agensi berkenaan menyatakan lonjakan ketibaan pengembara menyebabkan barisan panjang di lapangan terbang semalam, walaupun kaunter ketibaan beroperasi sepenuhnya.
Komander AKPS Pulau Pinang, Zuhair Jamaludin, dipetik The Star sebagai berkata, berlaku peningkatan penerbangan daripada Spring Airlines, Shenzhen Airlines, dan China Southern Airlines. Beliau menafikan dakwaan dalam talian bahawa hanya dua kaunter sahaja dibuka.
AKPS ditubuhkan pada 2024 menjadi entiti tunggal bertanggungjawab untuk memeriksa, memantau, dan mengawal orang awam, kenderaan, barangan, tumbuh-tumbuhan, dan haiwan di semua pintu masuk. Ia mengambil alih kawalan ke atas semua 114 pintu masuk pada tahun ini.
Kakitangan agensi itu terdiri daripada anggota yang diserap daripada polis, kastam, imigresen, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Kementerian Kesihatan, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).