VAMS atasi kesesakan di KLIA, tingkat imej pintu masuk negara

VAMS atasi kesesakan di KLIA, tingkat imej pintu masuk negara

Sistem pengurusan akses kenderaan di KLIA lebih teratur dan selamat bagi menurunkan dan mengambil penumpang.

Sistem pengurusan akses kenderaan (VAMS) di KLIA lebih teratur dan selamat. (Gambar MAHB)
SEPANG:
Inisiatif Sistem pengurusan akses kenderaan (VAMS) yang diperkenalkan pada 1 Dis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 antara usaha untuk menyelesaikan masalah lalu lintas, langkah ini kini menerima pujian daripada penumpang penerbangan dan pengguna lapangan terbang.

Sistem yang akan dilaksanakan sepenuhnya melalui beberapa peringkat bukan saja mengurangkan kesesakan, malah meningkatkan keselamatan di zon menurun dan mengambil penumpang di KLIA malah mencegah parkir haram.

Pengguna ditemui FMT menyifatkan perubahan itu sesuatu yang baik dan melegakan selain menaikkan imej pintu masuk negara di mata pelancong asing kerana memiliki sistem yang teratur.

Kamera di bumbung KLIA akan mengesan pergerakan setiap kenderaan yang memasuki zon menurun dan mengambil penumpang.

Jururawat, Nurul Syuhada Salleh, 37, berkata sistem itu memudahkan pengguna terutama wanita sepertinya.

Nurul Syuhada Salleh.

“Pernah tunggu sampai setengah jam sebab kereta yang datang ambil saya tidak boleh masuk zon mengambil penumpang akibat kesesakan,” katanya.

Katanya, sistem pemantauan tempoh berhenti kenderaan bukan hanya mengurangkan kesesakan tetapi boleh menghalang kenderaan diparkir sesuka hati.

Nublan Zaki Amir Husin.

Eksekutif jualan, Nublan Zaki Amir Husin, 29, berkata VAMS diharap dapat mendisiplinkan pemandu sekali gus memendekkan tempoh menunggu.

“Kalau boleh masa menunggu dipendekkan, mungkin dari 10 minit kepada dua atau lima minit. Itu boleh bantu kita jaga keselamatan diri dan keluarga,” katanya yang menunggu penerbangan ke Jepun bersama isteri dan anak.

Puteri Shamira Azhar.

Bagi Puteri Shamira Azhar, 28, VAMS bukan sahaja membantu pengguna tempatan tetapi memberi imej positif kepada pelancong.

“Bila pelancong tiba dari luar negara nampak sistem kita teratur dan cepat, mereka akan rasa ‘wow’…Malaysia efisien dan selamat,” kata doktor gigi itu sebelum berlepas ke Jakarta.

Puteri Shamira turut melihat pendekatan VAMS sebagai proses mendidik pemandu untuk merancang ketibaan dan masa menunggu dengan lebih teratur, sekali gus memupuk sikap bertanggungjawab serta prihatin terhadap kelancaran operasi dan keselamatan semua pihak di kawasan terminal.

Sistem berasaskan teknologi pintar itu membolehkan pemantauan dilakukan secara masa nyata ke arah menjadikan KLIA lebih selamat dan efisien, selaras imej lapangan terbang bertaraf dunia.

Pemandu disaran menyelesaikan urusannya dalam 10 minit bagi melancarkan aliran trafik. (Gambar MAHB)

KLIA kini mengendalikan lebih 60 juta penumpang setahun, dengan hampir 45,000 kenderaan melalui zon berkenaan setiap hari. Ketika waktu puncak, jumlahnya boleh mencecah 5,000 kenderaan sejam menyebabkan gangguan dan risiko keselamatan.

Sebaik kenderaan memasuki zon itu, sensor akan mengesan nombor pendaftaran dan mula memantau tempoh ia berhenti sama ada menurunkan atau mengambil penumpang.

Pemandu digalakkan menyelesaikan urusan dalam tempoh 10 minit bagi memastikan aliran trafik kekal lancar. Paparan skrin digital di lokasi akan memaparkan nombor pendaftaran kenderaan yang melebihi had masa 10 minit. Kenderaan yang melepasi tempoh tersebut akan dikenakan bayaran penalti sehingga maksimum RM100. Pembayaran boleh dibuat semasa keluar melalui Touch ‘n Go, kad kredit dan MyDebit.

Table 1: Struktur Bayaran Penalti VAMS.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.